CIMB Group mengukuhkan lagi kehadirannya dalam sektor perbankan di Asia Tenggara apabila unit perbankan komersialnya, CIMB Bank mengambil alih 60 peratus kepentingan ekuiti dalam bank Filipina, Bank of Commerce (BoC) membabitkan pelaburan RM881 juta.

Kepentingan berkenaan dibelinya daripada konglomerat negara itu, San Miguel Corporation (SMC) serta beberapa pemegang saham minoriti bank itu.
Perjanjian bersyarat (SPA) bagi pembelian berkenaan dimeterai kumpulan perbankan itu semalam. Pengambilalihan itu yang dijangkakan diselesaikan dalam suku ketiga tahun ini, menandakan kemasukan kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia itu ke dalam pasaran kewangan Filipina yang dilihat mempunyai prospek pertumbuhan yang kukuh pada masa depan.


Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, berkata pengambilalihan BoC itu adalah sejajar dengan usaha kumpulan perbankan itu untuk muncul sebagai kumpulan perbankan sejagat dan terkemuka di Asia Tenggara kerana ia kini sudah mempunyai operasi di setiap negara di rantau ini kecuali Laos.

Beliau berkata, pengambilalihan itu juga adalah yang kedua bagi CIMB Group tahun ini selepas memuktamadkan pengambilalihan sebahagian besar ekuiti tunai serta perniagaan perbankan pelaburan Royal Bank of Scotland (RBS) bulan lalu.

“Sebagai bank sejagat Asean, peluasan operasi kami ke Filipina adalah sesuatu yang biasa. Saya yakin kami memasuki pasaran ini pada masa yang tepat dengan urus niaga dan rakan kongsi yang tepat,” katanya pada sidang media mengumumkan pembelian kepentingan ekuiti BoC itu di Kuala Lumpur semalam.
“BoC kini masih kecil (di Filipina) tetapi ia mampu berkembang kerana nisbah pinjaman kepada depositnya yang rendah, serta nisbah modal yang tinggi,” katanya sambil menambah pihaknya akan menumpukan usaha untuk menjadikan BoC sebagai bank pilihan di Filipina.

Nazir berkata, pihaknya menjangkakan urus niaga pengambilalihan BoC itu akan diselesaikan pada suku ketiga tahun ini.

Katanya, pengambilalihan itu yang akan meningkatkan jumlah rangkaian runcit keseluruhan CIMB Group kepada 1,239, dijangkakan mula menyumbang kepada pendapatan kumpulan pada tahun kewangan 2013.

Nazir juga berkata, serentak dengan perjanjian pengambilalihan itu, CIMB Group juga memeterai perjanjian kerjasama dengan SMC yang mana konglomerat Filipina itu bersetuju menjadikan kumpulan perbankan itu sebagai penyedia perkhidmatan perbankan pilihannya.

Katanya, pihaknya menyasarkan untuk menjadikan BoC sebagai antara 10 bank terkemuka Filipina dengan menumpukan kepada perniagaan perbankan korporat, runcit dan kiriman wang.

“Dalam segmen perbankan korporat, kami lihat wujud potensi bagi kami menawarkan penyelesaian perbankan dan pasaran modal kepada korporat.

“Kami juga melihat segmen kiriman wang menawarkan peluang yang besar untuk kami berkembang,” katanya.

Diperbadankan pada Disember 1963, BoC kini adalah bank ke-16 terbesar di Filipina dari segi jumlah aset.

Sementara itu, Nazir berkata, CIMB Group menerusi CIMB Thai dalam proses mengemukakan permohonan membuka cawangan di Laos sejajar dengan hasratnya untuk mempunyai operasi di setiap negara di rantau ini.

Katanya, CIMB Group juga sudah memulakan rundingan dengan RBS untuk membeli 50 peratus kepentingan ekuiti dalam RBS Morgans, iaitu antara firma broker terbesar di Australia.