Zeti syor rakyat jimat guna bahan api, amal perbelanjaan berhemah

RAKYAT negara ini boleh membantu kerajaan membendung kenaikan kadar inflasi dengan meningkatkan kecekapan dalam penggunaan tenaga dan mengamalkan perbelanjaan berhemah, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Beliau berkata, inflasi Malaysia akan menerima kesan sekiranya negara mempunyai harga komoditi tinggi yang akan menjurus kepada harga makanan tinggi.

“Ia sesuatu yang kita boleh tangani. Rakyat harus belajar untuk berjimat dan menjadi lebih cekap dalam penggunaan tenaga, dalam memandu kereta dan berkongsi kereta.

“Semua ini kita boleh lakukan untuk mengurus alam sekitar, membendung kenaikan harga bahan api dan tekanan inflasi,” katanya kepada media selepas majlis Anugerah Biasiswa Kijang Emas 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau menjawab demikian apabila ditanya sama ada inflasi Malaysia akan menerima kesan sama seperti Singapura.

Laporan sebelum ini menyebut kadar inflasi Singapura dijangka mencecah 4.4 peratus bagi suku kedua tahun ini.
Inflasi republik itu meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 25 bulan pada Januari lalu.

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan negara itu menunjukkan indeks harga pengguna (CPI) meningkat sebanyak 5.5 peratus. Ia adalah kenaikan harga tahun-ke-tahun tertinggi sejak Disember 2008.

Mengenai sama ada kadar inflasi Malaysia akan disemak semula, Zeti berkata: “Tidak buat masa ini”.

Kadar inflasi Malaysia meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 24 bulan pada 3.2 peratus tahun-ke-tahun, pada April selepas kenaikan tiga peratus pada Mac.

Sementara itu penerima utama Anugerah Biasiswa Kijang Emas tahun ini ialah Arman Shukri Hamidon, Arjunan a/l Selvamani dan Tan Heang-Lee.

Arman, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah Kuala Lumpur itu bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia di Amerika Syarikat, manakala Arjun pula berminat mendalami ilmu perubatan.

Heang-Lee yang menduduki Program Ijazah Asas Amerika di Taylor’s College pula berminat melanjutkan pengajian dalam bidang nutrisi dan dietetics.

Ketiga-tiga mereka mendapat 10 A+ dalam SPM 2010.

Anugerah yang diberikan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2010 itu memberi kebebasan kepada penerima meneruskan pengajian dalam bidang pilihan masing-masing di mana-mana universiti utama dunia.

Bank Negara tidak mengenakan sebarang syarat kepada penerima dan mereka hanya dikehendaki pulang semula ke Malaysia dan berkhidmat dengan negara.

Terkini seramai 31 penuntut menerima Biasiswa Kijang Emas.