Chery bina kilang di Malaysia

Chery bina kilang di Malaysia

Oleh Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@bharian.com.my
2012/06/23

Bakal jadi hab tembusi pasaran negara serantau

CHERY Automobile Malaysia Sdn Bhd akan melabur RM250 juta dalam tempoh lima tahun termasuk membina kilang pemasangan kenderaan jenama China itu di negara ini.

Kilang yang dirancang dibina dalam dua atau tiga tahun itu akan menjadi pusat pemasangan kenderaan pemanduan sebelah kanan Chery pertama.

Ketua Eksekutifnya, Paul Ng, berkata pihaknya merancang membina kilang pemasangan itu di tengah Semenanjung dan mengenal pasti beberapa lokasi sesuai.
Katanya, ketika ini syarikat masih menunggu kelulusan kerajaan.

“Jika diluluskan, kilang ini bakal menjadi hab eksport kami ke negara serantau seperti Thailand, Indonesia, India, Sri Lanka dan Pakistan," katanya selepas pelancaran bilik pameran ke-56 Chery di Petaling Jaya, Selangor, semalam. Pelancarannya disempurnakan Pengerusi Kumpulan Chery Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Nik Ismail Mohamed.

Ng menjelaskan, kilang itu dirancang mempunyai kapasiti mengeluarkan sekurang-kurangnya 10,000 kenderaan setahun pada peringkat awal, sebelum ditingkatkan kepada sehingga 20,000 unit beberapa tahun selepas itu.

Ketika ini, pemasangan Chery dilakukan di kilang milik Oriental Assembler di Johor Bahru, Johor.

Mengenai bilik pameran itu, Ng berkata lebih RM300,000 dilabur untuk mengubah suai bangunan itu.

Katanya ia akan menawarkan pelbagai perkhidmatan ada perkhidmatan penghantaran kenderaan pada waktu malam hingga lorong perkhidmatan pantas.

“Chery juga melabur RM5 juta bagi bekalan alat ganti dan 73,000 barangan khusus untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Chery Malaysia menyasarkan jualan lebih 3,000 unit tahun ini seperti dicatatkan tahun lalu.

Pihaknya turut merancang membawa masuk tiga model baru tahun depan membabitkan sedan, hatchback dan kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi mempelbagaikan lagi tawaran jenama Chery.