London: Satu-satunya pingat emas yang gagal diraih China dalam angkat berat pada Olimpik Beijing 2008 adalah kategori 77 kilogram lelaki, dan kali ini mereka mempertaruhkan dua lelaki bernama Lu di London bagi memastikan ia tidak berulang.

Keputusan China itu berbaloi apabila Lu Xiaojun memecahkan dua rekod dunia kelmarin untuk mencatat kemenangan penuh bergaya sekali gus berjaya menebus kehampaan itu.
Lu Haojie pula mungkin ketinggalan jauh tetapi dia masih 11 kilogram (kg) di depan pemenang pingat gangsa, Ivan Cambar Rodriguez dari Cuba.


“Selagi ia adalah emas buat China, ia OK,” kata Ku Haojie. Lelaki yang menidakkan China kepada sembilan emas di Beijing itu - Sa Jae-hyouk dari Korea Selatan - cedera ketika acara snatch. Dia kemudian meninggalkan pertandingan dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Sementara itu, kedua-dua prospek emas China itu tampak lebih terarah kepada Lu Xiaojun apabila mengangkat angkatan 175kg dalam snatch, memecah rekod sendiri dengan lebihan satu kilogram. Atlit berusia 28 tahun itu kemudian mengangkat 204kg dalam clean & jerk untuk menjadikan jumlah bebanan angkatan keseluruhan kepada 379kg.

Lu Xiaojun mengulas mengenai rakan senegaranya yang muda tujuh tahun berbanding dirinya dengan berkata rakannya itu sangat mengagumkan.

“Dia banyak menunjukkan peningkatan dan ia sangat mengagumkan,” katanya mengenai Lu Haojie yang pernah menewaskannya pada Kejohanan Kebangsaan China tahun ini. - AP