RANAU: Dasar dan falsafah pendidikan negara yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjaya melahirkan modal insan dan menyelesaikan masalah kemiskinan di kalangan rakyat khususnya di luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan juga berjaya melengkapkan dasar pendidikan negara yang sempurna bagi melahirkan modal insan menjelang Malaysia menjadi negara maju pada 2020.
"Sejak 1957, rakyat Malaysia ketika itu seramai kira-kira tujuh juta penduduk, dan kadar kemiskinan di kalangan rakyat miskin sebanyak 70 peratus berjaya dikurangkan dengan pelbagai prasarana dan pembangunan.


"Ini dapat dijayakan menerusi pelbagai dasar pendidikan cemerlang dan sistem ko-kurikulum yang berkualiti...dan kini peratusan kadar kemiskinan jauh sudah menurun di bawah tiga peratus," katanya ketika berucap pada Program Bersama Rakyat dan jamuan Makan 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut merasmikan SMK Ranau yang mula beroperasi pada 2005 dan menyaksikan upacara penyerahan tapak Institut Aminuddin Baki (IAB) cawangan Sabah yang terletak di Menggatal, Kota Kinabalu.

Turut hadir pada program yang dihadiri kira-kira 5,000 rakyat itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, isteri Muhyiddin Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan isteri Musa, Datin Seri Faridah Tussin.

Muhyiddin berkata kini cabaran yang harus dipikul oleh semua pihak, terutama warga pendidik adalah meningkatkan kualiti pendidikan negara sejajar dengan perkembangan prasarana pembangunan persekolahan yang disediakan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau mahu guru yang mahir dalam mata pelajaran tertentu hanya mengajar mata pelajaran berkenaan manakala ibu bapa pula perlu diberitahu bahawa sistem kurikulum yang disediakan adalah untuk melahirkan insan berilmu dan berkualiti setanding dengan negara maju.

Beliau juga berharap guru besar dan pengetua meningkatkan keupayaan kepimpinan di sekolah bagi memartabatkan pendidikan negara.

Mengenai IAB cawangan Kota Kinabalu itu, Muhyiddin berkata ia akan dapat meningkatkan kualiti kepimpinan di kalangan warga pendidik dengan pelbagai kursus dan program yang dijalankan.

"Saya mahu ucap terima kasih kepada semua warga pendidik kerana berkorban melaksananakan tanggungjawab mendidik anak-anak kita dan sumbangan guru amat besar sekali.

"Bulan hadapan sambutan hari guru dirayakan untuk memberi penghormatan kepada mereka dan kita (kerajaan) telah melaksanakan sistem pendidikan yang cukup baik dan telah berjaya termasuk membawa kejayaan dan kemakmuran di Sabah," katanya.

Beliau juga berkata siri Dialog Pendidikan Nasional ke seluruh negara turut diadakan untuk mengumpul maklum balas dan pandangan pelbagai pihak dalam menyokong usaha kerajaan bagi menambah baik sistem pendidikan negara selain memperbaiki kelemahan yang sedia ada.

Katanya siri dialog yang diadakan di setiap negeri itu melibatkan Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan pakar-pakar pendidikan yang dijangka siap pada akhir tahun ini. - BERNAMA