KUALA LUMPUR: Bekas presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) (kini Bursa Malaysia), Datuk Mohd Salleh Abdul Majid meninggal dunia, hari ini, akibat barah rektum dan kegagalan buah pinggang.

Mohd Salleh, 62 meninggal dunia kira-kira jam 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, dengan anggota keluarga terdekat berada di sisi semasa beliau menghembuskan nafas terakhir.
Menurut anggota keluarga, jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumah ibunya di Lot 1055, Jalan Haji Mokhtar, Kampung Pasir, Hulu Kelang dan dijangka dikebumikan selepas solat Asar.

Allahyarham menjadi Presiden BSKL pada 1996 dan bersara daripada badan itu pada 2003. - BERNAMA