Ekonomi Malaysia   berkembang   4.1 peratus Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
Kekal optimis pertumbuhan capai sasaran permintaan kukuh domestik, pelaburan

Ekonomi Malaysia berkembang 4.1 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini di sebalik persekitaran ekonomi dunia yang kekal mencabar, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh.

Meskipun pencapaian itu lebih rendah daripada jangkaan, Bank Negara Malaysia kekal optimis ekonomi negara masih berada dalam landasan tepat untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara lima hingga enam peratus bagi seluruh tahun ini bersandarkan kepada pengukuhan berterusan permintaan domestik serta pelaburan, khususnya dalam sektor pembinaan seperti perumahan, infrastruktur serta sektor minyak dan gas.
Ekonomi AS, Eropah lemah

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata pertumbuhan pada suku pertama itu dicatatkan di tengah-tengah penurunan 36.4 peratus eksport bersih negara berbanding setahun lalu, susulan kelemahan dalam ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah.

“(Pertumbuhan) ekonomi Malaysia (dalam tempoh tiga bulan pertama 2013) terjejas akibat kelemahan dalam permintaan luar negara. Bagaimanapun, permintaan domestik disokong
pengembangan berterusan dalam kegiatan sektor swasta serta perbelanjaan sektor awam, dijangka terus kukuh dan akan akan menjadi pendorong utama kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun ini,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2013 di Kuala Lumpur, semalam.

Zeti menjelaskan, permintaan domestik terus mengukuh pada suku pertama lalu apabila ia berkembang 8.2 peratus berbanding 7.8 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2012.
Katanya, pertumbuhan perbelanjaan swasta kekal kukuh pada 7.5 peratus berbanding 6.2 peratus pada suku keempat tahun lalu lalu, disokong khususnya oleh peningkatan berterusan pendapatan dan pasaran pekerjaan yang menggalakkan.

“Keadaan ini turut disokong oleh pindahan bantuan wang tunai kerajaan kepada isi rumah yang berpendapatan sederhana dan rendah, serta pelaksanaan dasar gaji minimum.

“Bagaimanapun, pertumbuhan dalam penggunaan awam menyederhana kepada 0.1 peratus berbanding 1.2 peratus pada suku keempat 2012, disebabkan perbelanjaan terhadap bekalan dan perkhidmatan yang lebih rendah,” katanya.

Dari segi penawaran, Zeti berkata, sektor perkilangan berkembang sedikit perlahan berikutan keadaan luaran lemah.

“Meskipun terdapat kelemahan dalam aktiviti berkaitan perdagangan, sektor perkhidmatan terus berkembang, disokong terutama oleh subsektor yang memenuhi keperluan pasaran dalam negeri,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan dalam sektor pertanian berterusan hasil daripada pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi, manakala sektor perlombongan merosot disebabkan pengeluaran minyak mentah lebih rendah.

“Sektor pembinaan terus mencatat pertumbuhan yang kukuh, didorong terutama oleh kemajuan dalam subsektor kejuruteraan awam,” katanya.

Menuju ke hadapan, Zeti berkata, ekonomi global dijangkakan terus berkembang, tetapi wujud risikonya ia akan menjadi lebih perlahan.

Di negara maju, katanya pemulihan ekonominya mudah terjejas oleh ketidaktentuan dasar dan risiko penularan.

Aktiviti perdagangan kukuh

Namun beliau menegaskan, bagi ekonomi Malaysia, permintaan domestik dijangkakan terus menjadi pemacu pertumbuhan didorong oleh peningkatan sektor swasta yang mapan serta disokong oleh sektor awam, di samping kekukuhan aktiviti perdagangan serantau.