SHAH ALAM: Seorang eksekutif muncul johan qari Tilawah Al-Quran peringkat Selangor tahun ini manakala juara qariah dirangkul penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Syamsul Abu Hassan, 29, yang mewakili Kuala Selangor dinobat johan qari manakala juara qariah ialah Nor Faizah Panut, 24, dari Sepang pada tilawah yang berlangsung dari 19 Februari lalu dan berakhir hari ini di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Ini adalah kejuaraan keempat Nor Faizah, yang juga penuntut peringkat Ijazah Sarjana kursus Pengajian Islam, kerana beliau sebelum ini adalah johan qariah Selangor pada 2008, 2009 dan 2011.


Pada tahun ini, Selangor membuat kelainan dengan menganjurkan Tilawah Al-Quran dan Majlis Menghafaz Al-Quran secara serentak.

Bagi pertandingan menghafaz Al-Quran tahap satu sehingga 30 juzuk, johan kategori lelaki diraih Suhail Jamaluddin, 23, dari daerah Kuala Langat manakala johan wanita ialah Farah Nabila Amindin, 18, dari Gombak.

Syamsul, Nor Faizah, Suhail dan Farah Nabila masing-masing membawa pulang RM5,000, piala iringan, sepersalinan pakaian, hadiah pakej mengerjakan umrah dan sijil penyertaan yang disampaikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Syamsul dan Nor Faizah akan mewakili Selangor pada Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan pada 2 Mei di Kota Bharu, Kelantan sementara Suhail dan Farah Nabila ke pertandingan menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan di Pulau Pinang pada 4 Mac.
Seramai 20 peserta mengambil bahagian pada Tilawah Al-Quran manakala 48 peserta bagi pertandingan menghafaz Al-Quran. - BERNAMA