Eksport minyak sawit dijangka terjejas 2013Oleh Mahanum abdul Aziz2012/08/07 Permintaan terhadap minyak sawit mentah (CPO) dijangkakan terjejas tahun depan dengan harga komoditi itu diunjurkan berada pada paras RM3,050 setan, demikian mengikut MIDF Research.
Firma penyelidik itu berkata, kebimbangan yang meningkat terhadap kesan krisis Eropah serta penggunaan CPO akan memberi tekanan kepada permintaan komoditi itu tahun depan. Katanya, Eropah mengimport kira-kira 12.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport CPO dalam tempoh lima tahun lalu, sekali gus menjadikannya negara pengimport CPO kedua terbesar selepas China. Di samping itu, ia berkata, bekalan minyak soya dijangka meningkat tahun depan selepas terjejas teruk dengan kemarau tahun ini, dan ia sekali gus mendorong kepada penurunan dalam permintaan CPO. Harga jatuh “Kami menjangkakan harga purata CPO pada 2013 akan jatuh 3.2 peratus kepada RM3,050 setan berbanding unjuran kami bagi tahun ini RM3,150 setan,” kata firma penyelidik itu dalam nota penyelidikannya semalam. MIDF Research menjangkakan pengeluaran CPO akan meningkat pada suku ketiga ini terutama bulan ini dan bulan depan sejajar dengan sejarah arah aliran pengeluaran komoditi berkenaan. Berdasarkan analisis dari 1980 hingga 2011, purata pengeluaran CPO bagi Ogos dan September meningkat 8.87 peratus dan 9.57 peratus dari bulan ke bulan. Ia juga menjangkakan output CPO akan meningkat kepada 19 juta tan tahun depan didorong peningkatan hasil buah tandan segar (FFB). Unjuran harga purata CPO yang rendah tahun depan juga sejajar dengan jangkaan prestasi menurun harga komoditi lain seperti minyak mentah. AS$89 Setong Katanya, Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA), mengunjurkan harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) akan jatuh 4.4 peratus kepada AS$88 setong tahun depan berbanding unjuran AS$92 setong tahun ini. MIDF Research dan New York Mercantile Exchange (NYMEX) mengunjurkan harga minyak mentah WTI akan didagangkan purata antara AS$90 dan AS$89 setong pada 2013. |