London: Roger Federer bergerak selangkah lagi menghampiri pingat emas perseorangan Olimpik selepas mara ke suku akhir, tetapi pemain Israel, Jonathan Erlich dan Andy Ram menamatkan harapan pemain nombor satu dunia itu untuk mempertahankan emas acara beregu yang dimenanginya di Beijing 2008.

Harapan Venus Williams untuk menjadi pemain tenis pertama memenangi empat pingat emas Olimpik pula kini bergantung dalam acara beregu apabila tersingkir pada pusingan ketiga perseorangan wanita selepas tewas 7-6, 7-6 kepada pemain Jerman, Angelique Kerber.
Pilihan utama dan juga juara Grand Slam 17 kali, Federer mengatasi kegoyahan menentang pemain Uzbekistan, Denis Istomin, menyelamatkan tiga mata daripada servis lawan pada kedudukan 5-5 di set pertama sebelum memastikan tempatnya di suku akhir menerusi kemenangan 7-5, 6-3 kelmarin.


Kembali ke gelanggang selepas itu bersama gandingan beregu, Stanislas Wawrinka, dia bagaimanapun tidak berjaya, apabila lawannya berjaya menyingkirkan juara bertahan dari Switzerland itu dengan keputusan 1-6, 7-6, 6-3.

“Kami bergelut pada permulaan, kami sedikit teruja bermain di gelanggang sama dengan pemain terbaik di dunia,” kata Erlich yang memfokuskan tumpuan untuk meraih kejuaraan.

“Kami datang ke sini untuk mara hingga ke akhir dan bukan hanya menewaskan Federer.”

Pemain lelaki nombor dua dunia, Novak Djokovic pula bergelut mara ke suku akhir menerusi kemenangan 4-6, 7-5, 6-1 ke atas pemain nombor 158 dunia dari Australia, Lleyton Hewitt, manakala pemain Britain, Andy Murray juga bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 4-6, 6-1, 6-4 ke atas pemain Cyprus, Marcos Baghdatis. - Reuters