Firefly Sdn Bhd, syarikat penerbangan komuniti milik Penerbangan Malaysia (MAS) menawarkan tambang murah untuk 500,000 tempat duduk ke semua destinasi penerbangannya bagi perjalanan antara 13 Jun 2013 hingga Mac 2014.

Ketua Eksekutif, Ignatius Ong, berkata promosi tambang murah sempena kempen ‘Everyday Low Fare’ itu menawarkan tiket penerbangan sehala bagi laluan penerbangan tempatan dan antarabangsa pada harga bermula RM49 hingga RM249.
Termasuk caj

Beliau berkata, tambang murah yang ditawarkan itu sudah termasuk semua caj atau kos tambahan yang perlu dibayar oleh penumpang untuk ke destinasi dipilih dan ia juga sempena meraikan ulang tahun keenam penubuhan Firefly.

“Tawaran tambang murah itu bermula pada 13 Mei lalu dan pelanggan boleh mendapatkannya dengan membeli tiket menerusi internet atau ejen pelancongan kami,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Komersial Firefly, Azman Ahmad.

Firefly ketika ini mengendalikan penerbangan dengan 12 pesawat turboprop ATR 72-500 dari Pulau Pinang dan Subang ke destinasi di segi tiga pertumbuhan Malaysia-Indonesia-Thailand serta beberapa laluan antara Malaysia dan Singapura.
Promosi tambang murah Firefly berharga RM49 ialah untuk perjalanan sehala bagi semua penerbangan dalam Semenanjung dan RM99 untuk semua penerbangan sehala dari Malaysia ke Singapura dan Indonesia iaitu Batam, Pekan Baru, Medan dan Acheh.

Untuk penerbangan sehala dari Pulau Pinang ke ke Phuket dan Koh Samui di Thailand, tambang yang ditawarkan ialah RM149, manakala dari Subang ke destinasi terbabit ialah RM249.

Ong berkata, selain tambang murah, kempen Everyday Low Fare itu juga menawarkan peluang kepada pelangganmemenangi iPad Mini Apple apabila mereka membeli tiket penerbangan Firefly mulai 13 Mei hingga 12 Jun depan.

“Kami menyediakan 60 iPad Mini dan sepanjang tempoh 30 hari itu, dua pelanggan bertuah yang memenuhi kriteria serta memberikan slogan kreatif akan memenangi iPad berkenaan setiap hari,” katanya.