Forbes puji  Malaysia tarik pelabur asing MUSTAPA dan Forbes pada sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.
Langkah struktur semula ekonomi beri kesan positif

MALAYSIA telah mengambil langkah yang baik dalam menstruktur semula ekonominya dan membina persekitaran positif untuk menarik pelaburan asing, kata Pengerusi dan Ketua Penga-rang Forbes Media, Steve Forbes.
Beliau berkata, sejak kali terakhir beliau datang ke Malaysia dua tahun lalu terdapat banyak tindakan susulan yang dilaksanakan negara ini dari segi memudahkan kedatangan pelabur, termasuk menghapuskan halangan pelaburan seperti cukai dan birokrasi serta beberapa perkara membabitkan isu berkaitan subsidi.


“Tindakan susulan yang diambil itu sangat memberangsangkan yang mana banyak negara di dunia mengambil langkah ke belakang berbanding Malaysia.

“Kerajaan Malaysia setakat ini telah merealisasikan tindakan itu dan ia menjadi penyebab saya gembira datang ke sini semula untuk melihat semua inisiatif berkenaan membuahkan hasil,” katanya pada sidang media pembukaan Persidangan Ketua Eksekutif Forbes ke-11 di Kuala Lumpur, semalam.

Persidangan bertemakan ‘Di Persimpangan’ selama tiga hari itu mengumpulkan 400 pemimpin industri, jutawan, usahawan dan pegawai kanan politik dari seluruh dunia.

Ini adalah kali kedua Malaysia dipilih sebagai hos persidangan tahunan itu selepas kali terakhir pada 2009.
Forbes berkata, Malaysia menawarkan lima faktor yang menjadi pakej daya tarikan pelabur iaitu lokasi strategik, sumber yang besar, kumpulan tenaga kerja mahir berbahasa Inggeris, kerajaan yang mesra pelabur serta dasar yang dibangunkan untuk membangunkan ekonomi.

“Jadi, jika anda mengumpulkan semua faktor itu sekali, ia menjadi satu pakej baik dan kerajaan negara ini pula menjadikannya persekitarannya menarik untuk syarikat melabur di Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, perangkaan pelaburan langsung asing Malaysia yang menunjukkan peningkatan 530 peratus tahun lalu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap negara ini.

“Jika syarikat berterusan melabur modal di satu-satu tempat, ia bermakna mereka melihat masa depan dan satu bentuk keyakinan terhadap kemampuan negara berkenaan,” katanya.

Forbes berkata, usaha kerajaan membangunkan ‘modal intelek’ bagi terus berada di depan dan berterusan melaksanakan pembaharuan adalah langkah positif bagi membolehkan Malaysia mencapai matlamat menjadi ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020.

Datuk Seri Najib Razak pada persidangan itu hari ini akan menyampaikan pembentangannya mengenai perubahan yang akan dilakukan untuk meningkatkan lagi jumlah pelaburan, sekali gus membina arah aliran positif untuk Malaysia menjadi negara lebih global serta pesaing ekonomi yang berkesan.

Perdana Menteri juga akan membincangkan beberapa penambahbaikan yang dibuat dalam sektor pendidikan untuk menarik universiti asing membina kemudahannya di negara ini.