KUALA LUMPUR: Program Futsal 1Belia 1Malaysia yang membabitkan kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara akan dilaksanakan mulai bulan ini dalam usaha kerajaan memasyarakatkan sukan di peringkat akar umbi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata setiap kawasan Parlimen dikehendaki mengadakan kejohanan futsal terbuka bagi kategori lelaki dan wanita sebelum 15 Oktober ini.
Katanya, juara bagi kejohanan itu kemudian akan mewakili kawasan Parlimen berkenaan ke Kejohanan Kebangsaan pada 17 hingga 19 Disember ini di Presint 18, Putrajaya.


"Kita mengharapkan pada Disember ini di Putrajaya, kita dapat mengumpulkan belia-belia ini dalam satu perhimpunan atau mini karnival yang dapat merapatkan lagi hubungan anggota-anggota Parlimen dengan belia dari seluruh negara," katanya ketika pada majlis makan tengah hari anjuran Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Dalam Negeri di Parlimen, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta ahli Parlimen lain.

Ahmad Shabery berkata, jawatankuasa pelaksana program di peringkat Parlimen akan dipengerusikan ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Kerajaan memperuntukkan RM10,000 untuk setiap kawasan bagi menganjurkan kejohanan futsal masing-masing.
Selain itu, katanya, program itu diadakan bagi menguji keberkesanan gelanggang-gelanggang futsal yang dibina kerajaan di seluruh negara.

Beliau berkata, gelanggang itu dinamakan sebagai Gelangang Futsal 1Malaysia untuk menaikkan lagi penjenamaan 1Malaysia dan merapatkan hubungan antara kaum. - Bernama