Ini adalah kali ketiga London menjadi tuan rumah Sukan Olimpik. Ibu kota England ini juga unik apabila menjadi hos pertama untuk memulakan upacara pembukaan rasmi pada 1908.

Temasya berkenaan pada asalnya dijadualkan di Rome tetapi ledakan gunung berapi Mount Vesuvius pada 1906 memaksa penganjur mengubah destinasi ke London.
Olimpik juga bersambung selepas menyepi 12 tahun gara-gara Perang Dunia Kedua dengan kota metropolitan itu diberi pengiktirafan besar sekali lagi pada 1948 dalam serba kepincangan politik dan ekonomi.


Selepas selang 64 tahun – negara antara tertua di Eropah itu – kembali menjadi tumpuan dunia.

Sejak upacara pembukaan yang membabitkan kos kira-kira RM145 juta pada 27 Julai lalu, Great Britain (GB) yang kini mengalami krisis ekonomi berbangga dengan setiap pingat emas dikutip di halaman sendiri dan di hadapan penyokong mereka. Mungkin ada di kalangan warga kota itu masih ingat apa yang berlaku pada 1948 dan mungkin ada di kalangan mereka masih hidup lagi untuk mengenang pencapaian atlit mereka.

Di Olimpik Park, tempat kebanyakan gelanggang utama dibina kini menjadi markas bersantai ribuan manusia setiap hari dengan gerai makanan antarabangsa, pertunjukan konsert dan pelbagai aktiviti yang menarik kunjungan ramai.

Tapi di luar London kehidupan harian berjalan seperti biasa. Tidak banyak suasana riuh dengan jeritan Team GB atau kibaran bendera Union Jack. Ini mungkin kerana bukan semua warga di sini adalah anak watan ketika bilangan imigran bertambah setiap masa sejak sedekad lalu.
Seorang Khan dari Pakistan, umpamanya lebih sibuk dengan kerja menguruskan kedai runcit manakala seorang pemandu teksi berasal dari Somalia tidak begitu ceria atau pun ghairah apabila bercerita pasal kontinjen tuan rumah.

"Ya...ya saya dengar mereka dapat lima pingat emas hari ini. Baguslah," katanya. Dia yang beragama Islam lebih berminat bercerita mengenai masa depan anaknya apabila berkata di sini bukan tempat untuk anaknya belajar atau pun membesar.

Katanya, etika dan moral di sini tidak baik. Dia berminat menghantar anaknya belajar di Malaysia atau ke negara Arab lain.

Orang putih di sini pula lebih ceria dalam suasana Olimpik dan ada yang bercuti semata-mata mahu menyaksikan acara di pelbagai gelanggang bersama keluarga.

Tapi pada pengamatan saya apa yang pasti temasya ini membantu rakyat GB melupakan sedikit krisis ekonomi.

Penawar duka dalam bentuk sukan. Jumpa lagi!