Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk FD Iskandar FD Mansor, berkata ia adalah antara strategi syarikat itu merealisasikan matlamatnya untuk meningkatkan nilai permodalan pasaran Glomac kepada RM1 bilion daripada RM600 juta sekarang.
“Justeru, jika kami bertemu peluang yang boleh memberi manfaat kepada syarikat serta membawa nilai kepada pemegang saham, termasuk mampu meningkatkan saiz permodalan pasaran kami melepasi angka RM1 bilion, sudah tentu kami akan menimbangkannya sebaik mungkin,” katanya dalam taklimat media dan penganalisis sempena pengumuman keputusan kewangan suku keempat berakhir 30 April syarikat itu di Kuala Lumpur semalam.
Ditubuhkan pada 1988, Glomac lahir daripada usaha dua usahawan dan pengasasnya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri FD Mansor dan Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Richard Fong yang bergabung untuk memulakan perniagaan.
Kini, kumpulan itu memiliki lebih 40 anak syarikat yang terbabit dalam pelbagai bidang, meliputi hartanah, pelaburan hartanah, pembinaan, pengurusan harta dan pengurusan tempat letak kereta.
Sehingga kini, kumpulan itu yang kebanyakan projeknya terletak di lokasi strategik di Lembah Klang, sudah menyelesaikan lebih 15,000 unit kediaman dan komersial dengan nilai jualan terkumpul sebanyak RM4 bilion.
Selain projek pembangunan kediaman, Glomac juga berjaya menyiapkan kira-kira 5.4 juta kaki persegi ruang komersial, membabitkan nilai jualan lebih RM1.4 bilion.
Mengenai rakan niaga M&A yang berpotensi, FD Iskandar berkata, ia mungkin syarikat senaraian awam atau syarikat persendirian.
“Ia amat bergantung kepada model perniagaan.
“Jika mereka (syarikat yang akan diambilalih) memiliki model sesuai dan boleh memenuhi model perniagaan kami, Glomac akan menilainya sebaik mungkin,” katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir April lalu, Glomac yang merancang memberi keutamaan kepada projek pembangunan hartanah jenis kediaman bertanah dalam tempoh terdekat ini, mencatatkan keuntungan bersih RM85.8 juta, meningkat 36.2 peratus daripada RM63 juta yang dicatatkan dalam tahun kewangan sebelumnya.
Pendapatannya dalam tahun kewangan dikaji meningkat 9.7 peratus kepada RM655.6 juta daripada RM597.5 juta.
