GOOGLE Inc sedang meninjau kemungkinan membuka pejabat di Kuala Lumpur dalam usaha meningkatkan lagi peranannya membantu pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Pengarah Urusan Google Asia Tenggara, Julian Persaud, berkata pihaknya mendapati wujudnya peluang yang amat besar dalam membantu perkembangan PKS di negara ini kerana dianggarkan kira-kira 500,000 PKS belum memiliki laman web perniagaan.
“Melihat kepada peranan Kerajaan Malaysia dalam meningkatkan lagi capaian kadar penembusan internet di kalangan penduduknya serta ditambah dengan projek pembangunan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) yang sedang dijalankan, ia membuatkan kami lebih yakin untuk berada di Malaysia secara fizikal.


“Namun, kami sedang memikirkan jalan terbaik (sama ada membuka pejabat di Kuala Lumpur atau sebaliknya) buat Google dan Malaysia, dan kami sedang mengusahakannya sekarang,” katanya pada taklimat media mengenai rancangan Google di Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Berdasarkan sumber SME Corp ketika pembentangan laporan tahunan 2008 yang lalu, hanya kira-kira 100,000 PKS yang mempunyai laman web berbanding 598,000 jumlah PKS di Malaysia.

Jumlah itu menunjukkan masih wujud ruang yang besar bagi syarikat PKS untuk memasarkan produk mereka, walaupun sedar ruangan internet mampu menawarkan potensi pemasaran ke peringkat antarabangsa.

Persaud bagaimanapun menjelaskan, rancangan untuk membuka pejabat di Kuala Lumpur itu akan dipertimbangkan dengan teliti berikutan gergasi enjin carian laman web global itu kini sudah menjadikan Singapura sebagai pusat operasinya di rantau ini.
Katanya, buat masa ini Google ‘menerbangkan’ satu kumpulan khas dari Singapura ke Kuala Lumpur setiap minggu bagi mengikuti perkembangan aktiviti PKS tempatan dengan lebih dekat.

“Menerusi langkah itu, ia dapat membantu syarikat merangka lebih banyak program atau sistem khusus untuk diperkenalkan kepada PKS tempatan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat kini turut dalam peringkat pengembangan bilangan kakitangannya di Singapura bagi membantu memudahkan akses pengguna enjin carian Google di rantau ini, khususnya di Malaysia.

“Ketika ini, kami memiliki 100 kakitangan di Singapura dan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan serta memudahkan pengguna mengakses carian enjin Google, kami sedang mengambil lebih ramai dan mensasarkan penambahan kakitangan seramai 50 peratus lagi,” katanya.

Persaud berkata, pihaknya turut meninjau untuk mengadakan kerjasama dengan lebih banyak institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan, termasuk di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bagi membantu mewujudkan kemahiran pemasaran secara dalam talian di kalangan PKS tempatan.

Katanya, kerjasama berkenaan akan membolehkan syarikat PKS tempatan mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing menggunakan platform pemasaran Google.

Ketika ini, Google sudah menjalinkan kerjasama dengan Miti serta dua institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan iaitu Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) bagi menawarkan Pakej Rangsangan Perniagaan kepada PKS.