Mukhriz bersama Abdul Aziz (dua dari kanan) melihat model kilang Admuda di Kuala Lumpur, semalam.
Ketika ini setiap pek gula sekilogram dijual pada harga RM2.40 hingga RM4 di Sabah dan Sarawak, bergantung kepada lokasi berikutan kesukaran penghantaran dan pengangkutan khususnya di kawasan pedalaman berbanding di Semenanjung RM2.30.
Kaji tingkat pengeluaran
“Kami sedang mengkaji meningkatkan pengeluaran kepada 400,000 tan dalam tempoh tiga tahun beroperasi bagi memenuhi keperluan 350,000 tan setahun di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas memeterai perjanjian pembiayaan antara Brahim's Holding Bhd/Admuda dan Maybank Investment Bank di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, Abdul Aziz mewakili Admuda, manakala Maybank diwakili Pengarah Urusan dan Ketua Liputan Pelanggan dan Perbankan Borong Globalnya, John Chong.
Ia disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Hadir sama, Pengarah Brahim’s, Datuk Howard Choo.
Admuda yang juga anak syarikat Brahim’s Holdings Bhd bakal menjadi satu daripada pengeluar utama gula negara apabila kilangnya beroperasi dalam tempoh 18 bulan akan datang. Ia akan menjadi kilang kelima di Malaysia dan pertama di Sabah dan Sarawak.
Ketika ini, pengeluaran gula di pasaran tempatan dikuasai oleh MSM Malaysia Holdings Bhd, sebuah syarikat di bawah Felda Global Ventures dan Tradewinds (M) Bhd yang dikuasai hartawan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.