Chukai: Walaupun bersetuju memenuhi syarat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk menjelaskan isu amanatnya menerusi siaran langsung di stesen televisyen tempatan, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tidak akan mengemukakan permohonan rasmi.

Katanya, permohonan secara terbuka sudah dilakukan dan disiarkan melalui media cetak.
Setuju syarat



“Saya bersetuju memenuhi syarat ditetapkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, termasuk memberi peluang kepada pihak ketiga memberi pendapat ketika program itu diadakan, tetapi perlu dibuat secara langsung selama satu jam.

“Saya sudah bersetuju, panggillah bila-bila masapun, tetapi Rais perlu ikhlas, kita sama-sama nak mencari kebenaran,” katanya ketika ditemui pada majlis misi bantuan banjir anjuran PAS kawasan Kemaman di Kampung Air Putih, di sini, semalam.

Sebelum ini, Rais dilaporkan berkata, pihaknya akan membenarkan Ahli Parlimen Marang itu menggunakan saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membuat penjelasan mengenai amanat yang dibuatnya ketika menyampaikan ceramah di Kampung Banggol Peradung, Manir, pada tahun 1981.
Bagaimanapun katanya, Hadi perlu mengemukakan permohonan kepada kementerian dan menyatakan saluran pilihannya.

Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, terpulanglah kepada Rais untuk menentukan saluran mana yang sesuai, tetapi paling penting perlu dibuat secara langsung selama satu jam.


Perlu patuhi prosedur


Sementara itu, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, berkata Hadi perlu mematuhi prosedur dengan mengemukakan permohonan rasmi jika mahu penjelasannya mengenai isu amanat itu disiarkan di stesen televisyen.

“Hadi tidak terkecuali, malah sesiapa saja yang nak masuk televisyen perlu nyatakan apa yang akan dibuat jika diberi peluang berbuat demikian.

“Seterusnya permohonan itu akan kita sampaikan kepada Menteri untuk dipertimbangkan dan jika sesuai tentunya tidak ada masalah,” katanya, semalam.