Harga lateks meningkat
Keputusan drastik tiga negara pengeluar bantu stabil pasaran komoditi

Kuala Lumpur: Harga susu getah atau lateks tempatan yang kini diniagakan sekitar RM5.70 sekilogram dijangka meningkat secara beransur-ansur, sebelum kekal berada pada paras tinggi dalam tempoh terdekat.
Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) yang menaungi kira-kira 100 syarikat melihat peningkatan itu sebagai perkembangan positif buat peserta dalam industri huluan, khususnya pekebun kecil iaitu kumpulan penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan pengeluaran getah asli tempatan.


Presidennya, Lim Kwee Shyan, berkata perkembangan semasa dalam sektor komoditi itu dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana bakal memastikan industri pengeluaran getah tempatan terus bertumbuh dan kekal berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Bertindak balas secara positif

“Justeru, kami melihat harga getah khususnya lateks akan turut bertindak balas secara positif dan meningkat secara beransur-ansur ke paras yang stabil dan lega, sama ada bagi kepentingan pekebun kecil mahupun peserta industri sarung tangan tidak lama lagi,” katanya ditemui selepas perasmian Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) 2012 bagi edisi ke-enam di Kuala Lumpur semalam.

Perasmian persidangan selama dua hari yang bertemakan ‘Inovasi bagi Kelestarian’ dan telah menarik kira-kira 500 peserta dari 26 negara itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Harga getah di pasaran tempatan dijangka pulih dalam tempoh terdekat susulan keputusan drastik yang diambil pakatan negara pengeluar utama komoditi itu, Malaysia, Thailand dan Indonesia untuk melaksanakan langkah baru bagi membantu memulihkan harga.

Ini termasuk penarikan balik 300,000 tan getah asli daripada pasaran; dan mempercepatkan program penanaman semula seluas 100,000 hektar.
Program penanaman semula itu bakal menyebabkan pengurangan eksport sebanyak 150,000 tan.

Lim yang setuju langkah kerajaan itu akan membantu menyemarakkan kenaikan harga getah, bagaimanapun enggan memberi sebarang unjuran kenaikan harga lateks pada paras yang disifatkannya sebagai stabil.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang campur tangan dalam pasaran untuk meningkatkan semula harga getah harus dilakukan secara telus dan tidak memberikan kesan kenaikan secara mendadak.

Sokong pulih harga getah

“MARGMA menyokong penuh langkah Malaysia, Thailand dan Indonesia untuk memulihkan kembali paras harga getah antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata, penggunaan dunia semasa bagi sarung tangan getah dianggarkan 150 bilion pasang setahun yang mana Malaysia mengeluarkan hampir 100 bilion pasang.

Katanya, permintaan mendapatkan sarung tangan akan terus berkembang pada kadar 8.0 peratus hingga 12 peratus.

“Pada pada ini, permintaan mendapatkan sarung tangan akan melebihi 300 bilion pasang di dalam tempoh kurang 10 tahun sebelum 2020, yang menyediakan peluang yang besar kepada semua pemain industri, sama ada sarung tangan getah asli atau tiruan,” katanya.

Dengan itu, katanya inovasi serta pelaburan semula di dalam automasi adalah penting bagi menyokong industri itu bagi pembangunan masa depan.