Harga saham MSM naik     RM1.48 MOHD Isa melihat pergerakan saham MSM Malaysia Holdings Berhad yang didagangkan sambil diperhatikan Sabri Ahmad (kiri) dan Dzulkilfli Abd Wahab (tengah) di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur, semalam.
Dagangan sulung melonjak 42 peratus, kaunter paling aktif semalam

HARGA saham MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM Holdings) melonjak sehingga RM1.48 atau 42 peratus kepada RM4.98 sesaham pada hari dagangan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia, sekali gus menjadikannya antara tawaran awam permulaan (IPO) berprestasi terbaik dari segi kenaikan harga dalam tempoh lebih tiga tahun.
Saham sayap perniagaan gula FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd itu dibuka pada RM4.45 seunit pagi semalam, naik 95 sen atau 27.14 peratus berbanding harga rujukan IPO RM3.50 sesaham yang juga adalah harga yang ditawarkan kepada pelabur institusi.

Ia kemudian melonjak ke paras tertinggi harian iaitu RM4.98 menjelang akhir sesi dagangan petang dan kekal tinggi sebelum ditutup pada RM4.89 sesaham, naik RM1.39 atau 39.71 peratus.

MSM Holdings juga menjadi kaunter paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia semalam dengan sejumlah 101 juta saham bernilai RM464 juta diurusniagakan, justeru menjadikan ia sebagai peneraju pasaran.

Peniaga berkata, premium IPO melebihi RM1 pada hari pertama dagangan adalah sesuatu yang sukar disaksikan sejak kebelakangan ini dan kali terakhir lonjakan besar jumlah premium adalah ketika penyenaraian semula Sime Darby Bhd pada November 2007 yang meningkat RM2.10 sesaham serta Deleum Bhd pada Jun 2007 dengan kenaikan RM1.43 seunit.

Sementara itu, Pengerusi MSM Holdings, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang mengulas perkembangan itu berkata, pihaknya sangat gembira dengan sambutan hangat yang diberikan pelabur terhadap saham syarikat itu.
Beliau berkata ia adalah satu permulaan yang baik dan ia menunjukkan pelabur sangat yakin dengan prospek syarikat itu.

“Ini satu permulaan baik. Kita harap ia akan terus bertahan bukan setakat hari ini saja tetapi untuk seterusnya,” katanya kepada media selepas majlis penyenaraian sulung syarikat itu di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah FELDA, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab; Presiden Kumpulan dan Ketua Eksekutif FELDA Global Group, Datuk Sabri Ahmad serta Presiden dan Ketua Eksekutif MSM Holdings, Chua Say Sin.

Mohd Isa yang juga Pengerusi FELDA berkata, pihaknya akan menguruskan perniagaan itu sebaik mungkin bagi memastikan saham syarikat itu sentiasa mendapat perhatian pelabur.

IPO MSM Holdings di Bursa Malaysia membabitkan 255.64 juta saham biasa dengan 21.09 juta saham diperuntukkan kepada pelabur institusi.

Penyenaraian itu menjana mo-dal RM796 juta menerusi jualan 227.53 juta saham kepada pelabur institusi tempatan dan antarabangsa dan RM95 juta daripada penjualan 28.12 juta saham kepada pelabur runcit.

Berdasarkan harga tawaran RM3.50 seunit kepada pelabur institusi, modal pasaran MSM Holdings mencecah RM2.46 bilion ketika penyenaraian.

Mengenai rancangan FELDA selepas menyenaraikan MSM Holdings, Mohd Isa berkata, ia bergantung kepada masa dan strategi tertentu serta arahan daripada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut bertanggungjawab terhadap FELDA.

Beliau berkata FELDA sentiasa bersedia ke arah itu dan pihaknya melihat beberapa syarikat miliknya mempunyai potensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Selain itu, Mohd Isa berkata FELDA juga menerima ratusan cadangan perniagaan daripada pihak luar.

"Bagi biomass saja, kami menerima lebih 50 cadangan," kata beliau.

Bagaimanapun, katanya, FELDA akan mengkaji terlebih dulu sebelum membuat keputusan untuk meneroka bidang perniagaan baru itu.

Mohd Isa berkata, FELDA juga mendapat tawaran untuk membangunkan ribuan hektar tanah di luar negara seperti Papua New Guinea, Kemboja, Myanmar, Surinam, Sierra Leone dan Indonesia.

Beliau berkata pihaknya ketika ini di peringkat akhir kajian untuk memperoleh tanah kira-kira 20,000 hektar di Myanmar.

Katanya, FELDA kini mempunyai 853,000 tanah di Malaysia.