KUALA TERENGGANU: Pihak polis meminta penganjur 'Himpunan 505' supaya menukarkan tarikh dan lokasi perhimpunan mereka yang dijadual berlangsung di Kuala Ibai pada Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin, berkata notis awal yang diberikan pihak penganjur kurang daripada 10 hari perhimpunan hendak diadakan seperti yang ditetapkan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Beliau berkata, lokasi yang dipilih juga tidak sesuai kerana berdekatan jalan utama, kawasan perumahan, kawasannya yang sempit selain mengambil kira faktor keselamatan orang ramai.


"Kita ada menerima surat pemberitahuan berhubung himpunan itu dari pihak penganjur semalam dan kita dapati ia jelas tidak menepati akta perhimpunan aman yang ditetapkan.

"Jadi kita minta mereka meminda tarikh dan mencari lokasi yang lebih sesuai," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Zamri berkata, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika pihak penganjur gagal mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan. - BERNAMA