Johor Bahru: Malaysia diundi bersama England, Pakistan dan Afrika Selatan dalam Kumpulan A bagi pusingan ketiga separuh akhir Hoki Liga Dunia yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor, mulai 29 Jun hingga 7 Julai ini.

Kumpulan B pula dibarisi Jerman, Korea, Argentina dan Jepun – dengan empat pasukan teratas setiap kumpulan layak ke perlawanan akhir liga itu di India yang dijadualkan pada Januari 2014.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata walaupun Malaysia menduduki tangga ke-13 dunia, ia tetap mempunyai peluang terbaik melayakkannya diri ke kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 di Belanda.


“Skuad negara dibimbing Paul Revington akan memulakan cabaran menentang Pakistan sebelum berdepan Afrika Selatan dan England.

“Jika mara ke separuh akhir, kita bukan saja layak ke kejohanan Hoki Liga Dunia Akhir, malah secara automatik layak ke kejohanan Hoki Piala Dunia di Belanda pada Jun 2014,” katanya sambil menegaskan, persiapan selaku tuan rumah kini di peringkat akhir.

Pencapaian terbaik pasukan kebangsaan tahun ini adalah layak ke peringkat akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Perak sebelum tewas kepada Australia.