Honda labur RM1 bilion Dari kiri, Ueno, Mustapa dan Mohd Ali melihat model Honda Jazz Hybrid selepas majlis peletakan batu asas saluran pengeluaran Line No 2, di Kilang Honda, di Pegoh, semalam.
Bangun kilang CKD kereta hibrid, tingkat mutu kenderaan

Alor Gajah: Honda Malaysia Sdn Bhd akan melabur sehingga RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk membangunkan kilang pemasangan tempatan (CKD) bagi kenderaan hibrid serta menambah baik rangkaian pengedaran dan prasarana.
Kilang menempatkan barisan pengeluaran kedua itu dibina bersebelahan loji sedia ada di Pegoh, Alor Gajah dan dijangka beroperasi menjelang penghujung 2013.


Presiden merangkap Ketua Eksekutif Asia, Honda Motor Company Ltd (Honda Motor), Hiroshi Kobayashi, berkata daripada jumlah keseluruhan pelaburan itu, RM350 juta akan diperuntukkan membina barisan pengeluaran kedua.

Tingkat pengeluaran

Langkah itu, katanya, membolehkan keupayaan pengeluaran kilang itu ditingkatkan kepada 100,000 unit setahun.

Kobayashi berkata, pelaburan itu sekali gus menjadikan Honda sebagai pengeluar automotif asing pertama di Malaysia yang membuat pengeluaran tempatan untuk kenderaan hibrid.
Beliau menjelaskan, sebelum barisan pengeluaran baru siap, Honda akan membuat pemasangan tempatan model Jazz Hybrid menggunakan barisan pengeluaran sedia ada menjelang hujung tahun ini.

“Kenderaan hibrid Honda kini hanya dikeluarkan di Jepun dan Amerika Syarikat, justeru ini menjadikan kilang di Pegoh sebagai hab pengeluaran kenderaan hibrid untuk pasaran ASEAN dan Oceania,” katanya selepas majlis peletakan batu asas barisan pengeluaran kedua Honda di Alor Gajah, semalam.

Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

Kukuh kedudukan Honda

Kobayashi berkata, pengeluaran kenderaan hibrid secara CKD di Pegoh akan mengukuhkan lagi kedudukan Honda selaku peneraju dan perintis teknologi hibrid di negara ini.

“Menerusi pelaburan baru ini, kami juga akan membawa masuk teknologi tercanggih, di samping pelaburan lain serta pemindahan teknologi terutama dalam bidang kimpalan,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, keputusan Honda itu akan menjadikan Malaysia sebagai hab bagi pemasangan kereta hibrid di rantau Asia Tenggara dan Oceania.

Katanya, pengembangan operasi sedia ada ini adalah susulan keyakinan tinggi pelabur berkenaan terhadap keupayaan kerajaan mengurus tadbir ekonomi negara selain tawaran pengecualian duti import sepenuhnya sehingga Disember 2013 kepada pembeli kereta hibrid dan elektrik.