Mohamad Mat Yusop (kanan) menunjukkan parang yang diguna suspek samun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, semalam.
Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata polis percaya semua kereta itu dicuri di sekitar Lembah Klang sejak dua minggu lalu.
Kereta digunakan untuk kegiatan samun, jenayah
“Ketika ditemui, semua kereta ini tidak dikunci. Empat daripadanya jenis PROTON Waja dan satu lagi PROTON Persona. Kita percaya semua kereta itu yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, dijadikan kenderaan untuk melakukan kegiatan samun dan jenayah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Bagaimanapun, Mohamad berkata tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya masih menyiasat mengapa HTAR sebagai lokasi menyimpan kereta curi.
Lima suspek kes curi kereta mewah ditahan
Sementara itu, dalam satu kes berasingan, lima suspek termasuk seorang wanita berusia 31 hingga 43 ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kereta mewah.
Mohamad berkata, polis berjaya menangkap semua ahli kumpulan itu selepas menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di sebuah hotel, jam 12 tengah malam di sini Ahad lalu.
“Ketika ditahan, polis menemui sebuah kereta Honda Accord yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur. Susulan kejayaan itu, kami memberkas empat lagi ahli kumpulan berkenaan selain menemui dua kunci kereta dipercayai jenis Porsche dan Jaguar.
“Dalam serbuan itu, turut dirampas beberapa paket lutsinar berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis Syabu seberat 55.43 gram dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya.