HUJAN lebat yang mengakibatkan banjir di selatan Johor dan Sabah berpotensi menjejaskan bekalan minyak sawit dan melonjakkan harga komoditi itu di pasaran dunia berikutan kesukaran yang dihadapi peladang dan pengilang untuk membawa sawit dari ladang ke kilang penapisan dan pelabuhan.

Hujan yang dicetuskan fenomena La Nina itu kini berlaku di beberapa ladang di Sabah dan Selatan Johor, kawasan utama tanaman kelapa sawit yang menyumbang lebih 50 peratus pengeluaran.
Malaysia adalah negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia.


Kira-kira 60,000 tan minyak sawit mentah yang dalam perjalanan ke pusat penapisan di Sabah berdepan kelewatan berikutan banjir menyukarkan lori melalui jalan estet, kata penanam sawit.

Banjir yang berlaku di beberapa bahagian laluan utama ke Pasir Gudang, pelabuhan eksport minyak sawit utama Semenanjung di Selatan Johor memperlahankan mengangkut dan memunggah kargo, kata kilang penapis.

“Kami mengeksport sebahagian produk minyak sawit hari ini (semalam) dan kami diberitahu bahawa laluan ke Pasir Gudang dinaiki air. Jika hujan berterusan untuk seminggu lagi, pasti akan berlaku kesesakan,” tambahnya.

Pasaran hadapan minyak sawit mentah meningkat 1.4 peratus kelmarin selepas peniaga bimbang berhubung kemungkinan bekalan berkurangan. Kontrak minyak soya paling aktif di China pada pasaran komoditi Dalian pula melonjak 1.7 peratus.
“Pasaran bertindak demikian kerana kita dalam minggu dagangan singkat berikutan cuti Tahun Baru Cina. Sebahagian orang mungkin akan terperangkap dengan situasi yang tidak disangka,” kata seorang peniaga.

“Perkara ini sama seperti ketika banjir La Nina pada awal 2008 yang melanda ladang kelapa sawit di Johor dan sebahagian Sabah. Kita kini dalam keadaan aliran kenaikan harga.”

Banjir menyebabkan pedagang berebut untuk mendapatkan bekalan sehingga menyebabkan pasaran hadapan minyak sawit mencatatkan rekod tinggi sebanyak RM4,486 pada Mac 2008.

Syarikat perladangan mendakwa keadaan banjir di Johor mungkin menjadi lebih buruk selepas tiga sungai utama di Johor, yang terletak berdekatan ladang kelapa sawit melimpahi kualanya, Ahad lalu.

Selain kelewatan penghantaran, hujan lebat dan banjir akan meningkatkan kandungan kelembapan buah sawit sekali gus akan menjejaskan kualiti hasil.
“Kita menjangkakan penurunan pengeluaran minyak sawit sebanyak dua digit pada Januari dan Februari. Bekalan akan berada pada tahap paling ketat,” kata peladang di Sabah.

Bekalan minyak sawit Malaysia Disember lalu jatuh kepada lima-bulan rendah pada Disember berikutan kejatuhan mendadak dalam eksport yang dipacu oleh pengurangan pengeluaran. – Reuters