gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Foto

Penduduk Parit Lampong dipindahkan di Sekolah Kebangsaan Tehel, Melaka.

Foto

Mangsa banjir di Parit Sulong, Batu Pahat dipindahkan di penempatan sementara.

Foto

Mangsa banjir di Batu Pahat terpaksa meninggalkan rumah mereka yang dinaiki air.

Putrajaya: Hujan lebat berterusan semalam menyebabkan beberapa kawasan sekitar Dengkil, di sini serta Batu Pahat, Johor dan Jasin, Melaka dilanda banjir.

Di Dengkil, sehingga jam 5 petang semalam, seramai 545 penduduk dari sekitar pekan berkenaan dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Dengkil dan Dewan Orang Ramai Kampung Semarang berikutan kenaikan mendadak paras air Sungai Langat yang menyebabkan banjir sedalam 1.2 meter.
Antara kawasan terjejas teruk termasuk Kampung Semarang, Kampung Cemarai, Kampung Kerinsing, Kampung Revolusi Hijau, Taman Amentis, Taman Emas, Taman Kristal, Taman Permata dan Taman Baiduri.


Komander Operasi Bomba dan Penyelamat, Sharikan Bastaman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mulai jam 4.48 pagi semalam sebelum mengerahkan 38 anggota dari Cyberjaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Putrajaya memulakan operasi memindahkan mangsa.

Banjir bertembah buruk

Di Batu Pahat, banjir juga bertambah buruk apabila 760 orang daripada 215 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara. Setakat jam 6 petang semalam, beberapa pusat pemindahan baru bersedia untuk dibuka apabila hujan lebat menyebabkan paras air di beberapa sungai utama serta parit meningkat.

Antara kawasan terjejas teruk termasuk Parit Sulong membabitkan Kampung Parit Gantong, Parit Pulai, Parit Lapis Laman, Parit Sentang Batu, Parit Yusof, Parit Othman, Parit Betong dan Parit Jawa. Turut terjejas, kawasan Penggaram membabitkan Kampung Linau Kecil selain Kampung Baru di Sri Gading.
Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab Wahab Ridwan, berkata pihaknya kini bersiap-sedia membuka lebih banyak pusat pemindahan berikutan jumlah mangsa banjir yang semakin meningkat setiap masa.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran bahaya dan meminta penduduk berjaga-jaga apabila paras air Sungai Lenik di Ladang Chaah melepasi paras 6.12 meter, berbanding paras normal 4 meter. BH yang menyertai operasi menyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di Parit Sulong mendapati paras banjir mencecah 0.6 meter.

JKM agih bantuan

Pengarah JKM Johor, Khatijah Abdullah, berkata pihaknya sudah mengagihkan bantuan berupa makanan, minuman, bantal dan selimut kepada mangsa banjir, manakala Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor menjangka taburan hujan terus meningkat sepanjang minggu ini dengan sungai utama di daerah itu dan Segamat mencecah paras berjaga-jaga.

Di Jasin, 91 mangsa daripada 19 keluarga sekitar Tehel terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Tehel selepas penempatan mereka dinaiki air.