Hutang si mati, sanggupkah waris pikul tanggungjawab? BH Online

Hutang si mati, sanggupkah waris pikul tanggungjawab?

2010/10/22

Wajar lunaskan pinjaman walaupun selepas kematian

KEGHAIRAHAN dan kejahilan waris sering mengatasi kehendak syarak terutama dalam perkara menentukan hutang atau liabiliti si mati serta keperluan melunaskan atau membayar balik hutang berkenaan.

Waris sanggup turun naik mahkamah berebut harta pusaka sesama keluarga dan paling buruk, sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan demi merebut pusaka serta mahukan bahagian masing-masing.

Bagaimana dengan tanggungjawab membabitkan hutang atau liabiliti si mati? Menjadi tanggungjawab waris menentukan hutang si mati dan melunaskan semua hutang yang sudah dikenal pasti, sama ada membayarnya dengan pusaka si mati ataupun menggunakan wang sendiri.

Islam menekankan dengan tegas tanggungjawab membayar hutang walaupun selepas kematian penghutang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya.”

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Dan barang siapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati maka Allah akan bertanya di hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa aku tidak akan menuntut hak hambaku? Maka dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan pada orang yang berhutang.”

Rasulullah SAW mengingatkan, orang yang berhutang terikat dengan pembayaran. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa di dunia kerana apabila dia sudah mati dan masih menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung sehinggalah dijelaskan hutang itu.

Oleh demikian, apabila waris enggan melunaskan hutang si mati, apakah yang terjadi kepada rohnya? Pembayaran hutang si mati perlu didahulukan supaya roh si mati tidak tergantung selagi mana hutang tidak diselesaikan.

Di AmanahRaya, pengesahan hutang atau liabiliti penting dalam mentadbir pusaka si mati. Proses terperinci akan dibuat dan dilaksana berdasarkan dokumen sah serahan waris apabila menyerahkan borang mentadbir yang boleh dibuat di mana-mana 19 cawangan AmanahRaya di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Waris perlu mempunyai dokumen sah dan AmanahRaya perlu menyiasat status hutang itu. Proses itu memerlukan AmanahRaya berkomunikasi dengan semua pihak dan bertindak berdasarkan senarai hutang diserahkan waris.

Tempoh pengesahan tertakluk kepada siasatan yang dijalankan, juga berdasarkan profil hutang. Ada juga tuntutan hutang daripada individu, syarikat dan waris kepada AmanahRaya. Tuntutan perlu diterima jika disokong dokumen sah.

Semua tuntutan hutang perlu melalui proses ditetapkan supaya status hutang atau tuntutan hutang dapat dikenal pasti dan tidak dicabar setelah pembahagian dibuat serta fail ditutup. Bukan itu saja, proses penentuan hutang berkait rapat dengan hak waris kepada pusaka si mati.

Proses ini akan memakan masa lama jika waris tidak bekerjasama dan tidak dapat mengesahkan dokumen yang diserahkan. Walau bagaimanapun ada juga waris yang prihatin dan sedar pentingnya perkara ini.

Pelbagai cara dilakukan waris bagi menyelesaikan perkara itu seperti membuat iklan pengisytiharan hutang atau tuntutan hutang di akhbar terutama apabila waris maklum akan hutang tetapi tidak dapat mengesan pemberi hutang.

Oleh demikian, waris bersetuju dan memohon satu iklan diterbitkan dalam bentuk notis. Semua urusan terbitan iklan akan dilakukan oleh AmanahRaya dan iklan diterbitkan untuk satu tempoh dibenarkan.

Tujuan utama adalah untuk memberitahu umum perihal kematian si mati dan memberi peluang pemberi hutang yang ingin membuat tuntutan menghubungi pentadbir (AmanahRaya) dengan membawa dokumen sokongan sah. Kos ini ditanggung oleh pusaka si mati.

Bagi tuntutan belanja kematian dengan dokumen sokongan ia adalah biasa tetapi ramai yang tidak tahu apa perlu dibuat. Pertama, nama pihak yang menuntut perlu dinyatakan dengan jelas dalam resit bayaran berkaitan.

Jika nama pihak yang menuntut tidak dinyatakan dalam resit, surat pengesahan dari pihak yang mengeluarkan resit diperlukan. Lain-lain dokumen sokongan boleh dikemukakan oleh pihak yang menuntut sebagai bukti pembayaran dilakukan jika ada. Resit dikeluarkan dalam bahasa asing selain Tuntutan tanpa dokumen sokongan kebiasaannya memakan masa tetapi AmanahRaya tetap menerima tuntutan itu. Walau bagaimanapun tuntutan perlu memenuhi syarat berikut:

  • akuan bersumpah dari pihak yang menuntut;

  • perjanjian bertulis antara si mati dengan pihak yang menuntut (jika ada);

  • akuan bersumpah daripada dua saksi yang mengesahkan mengenai hutang dan keadaan tuntutan;

  • persetujuan bersumpah semua waris berhubung tuntutan dan pembayaran hutang/tuntutan hutang kepada pihak yang menuntut;

  • jika terdapat pertikaian berhubung tuntutan hutang, perintah mahkamah bermeterai perlu diperoleh dari pihak yang menuntut bagi pengesahan hutang dan bayaran yang boleh dilakukan kepadanya.

    Kewajipan melunaskan hutang terkandung dalam Seksyen 13 (1) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (AKTA 98): Pada penentuan pendengaran pemungut hendaklah melalui perintahnya membuat peruntukkan bagi pembayaran dari harta pusaka bagi duti estet, jika ada, dan perbelanjaan pengebumian dan hutang si mati...”

    Ramai yang tidak sedar perihal hutang lapuk sama ada dengan sengaja atau tidak tetapi hutang lapuk membawa kesan kepada si mati dan generasi seterusnya.
    Hutang lapuk ialah hutang yang tidak dibayar dalam masa tempoh yang lama. Jika orang yang memberi hutang atau warisnya tidak ditemui, maka nilai wang hutang itu hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

    DALIL
    Firman Allah yang bermaksud: “Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya kamu dikembalikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 245)

    Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW pernah berhutang seekor unta kemudian beliau membayarnya dengan yang lebih baik dan bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya.” (Hadis sahih Muslim)

    Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang berhutang dengan maksud membayarnya kembali, Tuhan akan menolongnya dengan membayar kembali. Siapa yang mengambil harta orang lain dengan maksud menghilangkannya, Tuhan akan menolong menghilangkannya.” (Hadis sahih Bukhari)