MIRI: Seorang wanita berumur 37 tahun dan seorang budak lelaki dipercayai anaknya, ditemui mati dalam kereta yang enjinnya masih hidup dekat Jalan Piasau di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Jamaludin Ibrahim, berkata wanita itu dikenal pasti sebagai Sallyroni Lahung Wan yang ditemui sudah tidak bernyawa di tempat duduk pemandu manakala budak lelaki itu di tempat duduk penumpang sebelahnya.
Nama kanak-kanak itu masih belum dikenal pasti.

Katanya, polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh orang awam pada kira-kira 10 pagi dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Semasa polis tiba di tempat kejadian, didapati semua pintu kereta itu berkunci dari dalam dan polis terpaksa memecahkan satu daripada pintu itu untuk menjalankan siasatan.

"Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat untuk menentukan punca kematian," katanya kepada pemberita di sini. - BERNAMA