Idea kreatif, inovatif penjawat awam rangsang transformasi ekonomiOleh Ismail Awang2010/12/08 DALAM konteks perkhidmatan awam, inovasi bermaksud cetusan idea kreatif yang dapat meningkatkan kreativiti dan produktiviti penyampaian perkhidmatan. Inovasi boleh berupa produk, perkhidmatan, proses, sistem, prosedur kerja dan teknologi.
Pendekatan inovatif dan kreatif amat diperlukan untuk meningkatkan tahap kecekapan, ketelusan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan sejajar kehendak dan harapan rakyat. Bertujuan memberi perkhidmatan dan hasil yang cekap, cepat serta menepati keperluan dan kehendak rakyat. Selain mampu menyediakan perkhidmatan cepat dan berkesan untuk sektor swasta bertujuan mengurangkan kos menjalankan perniagaan. Pada masa sama meningkatkan daya saing negara, dan memastikan sistem dan prosedur kerja yang kemas, selaras dan cekap bagi menghalang sekali gus menutup ruang dan peluang berlaku rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan kerajaan. Khususnya kepada jabatan, organisasi atau agensi yang terdedah gejala berkenaan. Apapun mekanisme untuk meningkatkan prestasi dan kualiti perkhidmatan bagi memenuhi keperluan serta kehendak pelanggan atau rakyat, kunci kejayaan sebenarnya bergantung kepada sikap anggota perkhidmatan awam yang berjumlah 1.2 juta orang terhadap transformasi diperkenalkan. Benar seperti kata Kenichi Ohmae dalam The Mind of Strategist, bahawa: ‘Management, after all, is people, and businesses are made successful by people, not by plans.’ Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesebelas (MAPPA XI) pada 9 Mac lalu antara lain menyebut: “Mahu tidak mahu, penjawat awam mesti berfikir di luar lingkungan kotak dan tidak mahu budaya ‘automation’ menjadi satu hakikat kehidupan dalam sektor awam. Kita seharusnya berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.” Sektor awam perlu menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor swasta bagi memastikan ekonomi negara berada pada landasannya untuk memenuhi aspirasi menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi dengan sasaran pendapatan perkapita sebanyak AS$15,000-AS$20,000 pada 2020. Justeru, perkhidmatan awam perlu menekankan aspek budaya kerja berprestasi tinggi. Antaranya menerusi penciptaan kreativiti dan inovasi supaya proses urusan kerja menjadi lebih tepat, mudah dan pantas. Mereka juga perlu melaksanakan program seperti mengurangkan kerenah birokrasi selain mengelak wujudnya ‘Napoleon Kecil’ dalam organisasi yang boleh menghalang proses pemikiran kreatif dan inovatif. Tanpa inovasi maka sistem dan prosedur kerja yang lapuk akan terus kekal tanpa sebarang perubahan yang membawa kepada kemajuan. Apabila suasana kreatif tidak diwujudkan dalam organisasi, pekerja sukar menyumbang idea dan pemikiran kepada organisasinya. Majikan dan ketua yang autokratik memberi kesan kepada pekerja untuk kreativiti kerana mereka mungkin berasakan majikan atau ketua mereka tidak responsif terhadap pandangan dan idea yang disarankan. Pekerja hanya dapat digalakkan untuk berfikir secara kreatif apabila mereka tidak takut menghadapi kritikan. Idea inovatif dan kreatif boleh terhasil tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Birokrasi dalam pentadbiran perlu dikurangkan kerana ia mendatangkan kesan negatif kepada persekitaran kreatif. Suasana dan persekitarannya sangat mengikut rutin, protokol dan prosedur kerja ketat yang secara tidak langsung tidak menyediakan ruang berkreatif dan menyebabkan sesuatu idea atau pendapat yang sebaik mana sekali pun akan melalui proses lama sebelum diterima. Birokrasi yang keterlaluan boleh membunuh kreativiti (Mohd Azhar Abd Hamid, 2004. Kreatif – Konsep, Teori & Praktis. Skudai, Johor: Universiti Teknologi Malaysia). Dalam sesebuah jabatan atau organisasi, barangkali terdapat pegawai atau kakitangan yang mempunyai banyak idea kreatif. Masalahnya idea itu mati begitu saja disebabkan pelbagai faktor. Contoh – faktor sikap , budaya kerja, politik pejabat, sikap mengampu, takut kepada kritikan atau teguran, mengelak risiko dan kesilapan, gaya pengurusan ketua jabatan atau ketua yang terlalu autokratik serta masalah komunikasi dalam jabatan atau organisasi. Kesimpulannya perkhidmatan awam perlu lebih kreatif dan inovatif bagi membantu pencapaian program transformasi ekonomi negara. Pengurusan jabatan memainkan peranan utama memupuk budaya kreativiti dan inovasi dalam jabatan. Kerajaan mengisytiharkan 2010 sebagai Malaysia Inovatif 2010 bertujuan meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi rakyat ke arah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat. Penulis ialah Pengarah Urus Setia Integriti dan Inovasi Negeri Kelantan. |