Inai Kiara  bina 4 lagi  kapal pengeruk DR MAHATHIR bersama Dr Siti Hasmah melihat replika kapal keruk di Inai Liatree di Selat Melaka Shipbuilding Corporation Sdn Bhd di Puau Indah, Klang.
INAI Kiara Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terbabit dalam industri berasaskan kejuruteraan marin bersepadu sedang membina empat lagi kapal pengeruk dianggarkan bernilai RM1.8 bilion, menjelang Oktober tahun depan.

Sebaik siap, keempat-empat kapal itu yang sedang dibina di limbungan anak syarikatnya, Selat Melaka Shipbuilding Corporation Sdn Bhd (SMSC) di Pantai Acheh, Pulau Indah, Klang akan menjadi sebahagian daripada 26 kapal milik syarikat itu.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Inai Kiara, Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed, berkata Maybank menjadi pembiaya terbesar bagi pembinaan kapal berkenaan selain dana sendiri.

Selain kapal berkenaan, dua kapal pengeruk milik syarikat itu sudah siap dibina iaitu Inai Ixora yang dilancarkan Julai tahun lalu manakala Inai Liatree dilancarkan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di limbungan SMSC semalam.

Inai Liatree yang bernilai RM250 juta, adalah antara kapal pengeruk terbesar dalam kelas 'cutter suction dredger', dengan keupayaan 13,800 kuasa kuda, mampu menggali sehingga kedalaman 22 meter.

Gulzar berkata, kapal itu berkebolehan menjalankan kerja penyenggaraan pelabuhan, penambakan pantai, mendalamkan muara sungai dan kerja tebatan banjir.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang turut hadir pada majlis berkenaan, berkata syarikat Bumiputera seperti Inai Kiara mampu membantu mengurangkan pengaliran keluar mata wang negara.
Katanya, satu masa dulu, kerja pengerukan dan menambak tanah dijalankan syarikat luar terutama dari Eropah sedangkan ada syarikat tempatan mampu menjalankan kerja berkenaan.