KUALA LUMPUR: Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hari ini mengumumkan keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan UMNO, Oktober ini.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, keputusan itu dibuat berikutan pengalaman dan kemampuannya untuk menguatkan parti dan menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat pilihan.
Bercakap pada sidang media di ibu pejabat Felda, di sini, Mohd Isa berkata, beliau masih aktif dalam politik dan selepas ini akan bertemu dengan perwakilan.


Sebelum ini, tiga Naib Presiden sedia ada, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal sudah mengumumkan untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, dipercayai pemimpin UMNO pertama tampil menawarkan diri untuk bertanding mengisi salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden parti.