Sepang: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan bahawa undang-undang syariah di Malaysia memberi hak kepada suami berpoligami tanpa perlu meminta kebenaran isteri.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata sebaliknya keputusan sama ada lelaki berkenaan dibenarkan berpoligami atau tidak bergantung kepada budi bicara Mahkamah Syariah.
Bagaimanapun, beliau berkata kebiasaannya Mahkamah Syariah akan memanggil isteri pertama untuk memaklumkan bahawa suami bakal berkahwin satu lagi.

“Mengikut sistem perundangan Islam suami memang tidak perlu meminta kebenaran isteri untuk berkahwin lebih daripada satu atau berpoligami.

Perlu buat permohonan

“Bagaimanapun, mana-mana lelaki yang mahu berpoligami perlu membuat permohonan ke Mahkamah Syariah bagi menentukan sama ada layak atau tidak berkahwin lebih dari satu,” katanya ketika di temui BH di sini.

Othman diminta mengulas laporan media mengenai lelaki Islam di Pulau Pinang tidak memerlukan kebenaran isteri pertama untuk berpoligami.
Dalam laporan itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Datuk Sazali Hussien, berkata enakmen syariah negeri tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk mendapatkan kebenaran isteri pertama.

Sebelum ini, BH melaporkan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, dipetik sebagai berkata suami yang mahu berkahwin lebih daripada satu tidak perlu meminta kebenaran isteri pertama kerana ia tidak terkandung dalam enakmen syariah di semua negeri.

Ambil masa 21 hari

Sebaliknya, mengikut Seksyen 23 Enakmen Keluarga Islam yang hampir seragam di semua negeri, suami diberikan hak berpoligami dan hanya perlu mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah.

Zainul Rijal berkata permohonan mengambil masa hampir 21 hari dan akan dinilai oleh Mahkamah Syariah sebelum mendapat kebenaran.

“Empat elemen utama dinilai mahkamah, iaitu keperluan perkahwinan, kemampuan suami, boleh berlaku adil dan tidak mendatangkan kemudaratan pada isteri.