"Audit JKKP ini dijalankan bermula di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pelajaran Daerah dan seterusnya ke sekolah-sekolah mengikut jadual yang ditetapkan," kata Pengarah JKKP negeri Kornain Mohd Nor.
Kornain berharap pengurusan sekolah lebih prihatin terhadap aspek keselamatan di sekolah bagi mengelak sebarang kemalangan yang membahayakan guru dan pelajar.
Kes kemalangan amat merugikan kerana wang yang dikeluarkan bagi menanggung kos rawatan dan bayaran pampasan adalah lebih tinggi berbanding kos penyelenggaraan keselamatan di sekolah, katanya.
"Penaksiran risiko kemalangan yang boleh berlaku di sekolah juga perlu diambil perhatian oleh pengurusan sekolah supaya langkah pencegahan dapat diambil lebih awal," katanya.
Bulan lalu semua 481 pengetua dan Guru Besar di Terengganu menghadiri Program Kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan di sekolah anjuran Kementerian Sumber Manusia, JPNT, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH). - BERNAMA
