KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam proses membuka tender baru bagi melantik kontraktor untuk menyambung kerja-kerja pembinaan Hospital Shah Alam yang terbengkalai.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata berdasarkan perancangan, pembinaan hospital itu dijangka mengambil masa 30 bulan untuk disiapkan dari tarikh milik tapak oleh kontraktor yang baru.
"Projek pembinaan Hospital Shah Alam dengan kos kontrak RM482.6 juta ini telah dimulakan pada 15 Nov 2007 dan sepatutnya siap pada 25 Jun 2011," katanya menjawab soalan Khalid Abdul Samad(Pas-Shah Alam) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.


Khalid ingin tahu status pelaksanaan projek pembinaan Hospital Shah Alam serta sama ada terdapat kontraktor baru yang telah dilantik melalui proses rundingan terus untuk menggantikan Syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd.

Shaziman berkata, JKR sudah mengeluarkan Notis Penamatan Kontrak kepada kontraktor utama pada 3 September lalu berikutan kelewatan pelaksanaan projek selama 62 hari dan ketiadaan sebarang aktiviti di tapak pembinaan sejak Ogos lalu.

“Sehingga tarikh kontrak ditamatkan, kemajuan kerja di tapak pembinaan ialah 27 peratus saja berbanding 38.9 peratus mengikut jadual asal, manakala jumlah pembayaran yang terbabit ialah RM139.9 juta,” katanya.

Kepada soalan tambahan Khalid supaya subkontraktor utama projek itu terus diberi peluang untuk menyambung kerja di tapak pembinaan, Shaziman berkata: "Jika saya bagi secara terus, esok Yang Berhormat (YB) dalam dewan ini terutamanya yang sebelah sana (pembangkang) kata pasti kenalan rapat kepada menteri sebab itu dia bagi terus.
"Sebab itu dalam kes ini yang pentingnya bukan untuk saya senarai hitamkan syarikat itu. Saya memandangkan realitinya di Shah Alam perlu hospital ini secepat mungkin dan mahu kontraktor yang dilantik sebagai kontraktor penyelamat bagi hospital ini biarlah yang betul-betul berwibawa," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan kepada Kementerian Kewangan mempertimbangkan kontraktor yang bakal dilantik mempunyai pengalaman menyiapkan projek hospital bernilai lebih RM100 juta.

Shaziman juga berkata, sebanyak 60 hingga 70 peratus ''projek sakit'' di seluruh negara adalah berpunca daripada kelemahan kontraktor sendiri.

"Sebelum dapat semua boleh janji. Janji bulan janji bintang, tapi bila ada masalah mereka mula kata harga yang saya masuk (tender) tak berapa baik, cuaca sekarang tak berapa baik, harga barang naik, rekaan bangunan tidak betul. Itu perkara realiti dalam dalam bidang pembinaan," katanya.

Beliau berkata, tidak akan ada ''projek sakit'' di negara ini sekiranya semua kontraktor dapat menyelesaikan semua projek dalam masa dan kos yang ditetapkan. - BERNAMA