Kuala Lumpur: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) mengumumkan pembinaan jambatan terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara, Jambatan Kedua Pulau Pinang kini 90.02 peratus siap.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Dr Ismail Mohamed Taib, berkata jambatan itu dijangka dibuka kepada orang ramai pada 8 September, manakala pembukaan rasmi akan diadakan 16 September, bersamaan dengan 50 tahun penubuhan Malaysia.
“Walaupun menepati sasaran mencapai tahap 90.02 peratus siap, kami membuat pemantauan projek setiap hari bagi memastikan jambatan ini dapat dibuka kepada orang ramai pada September nanti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pembinaan lebuh raya dan plaza tol dijangka disiapkan sepenuhnya pada 30 Ogos nanti. Ujian terhadap jambatan utama juga akan turut dijalankan pada tarikh sama.

JKSB berjaya menyiapkan pembinaan ‘segmental box girder’ (SBG) untuk pembinaan rentang tuju, 100 hari lebih awal daripada dijadualkan. Sehingga semalam, pemasangan SBG di rentang tuju sudah 92 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 31 Januari ini.

“Pembinaan dek ‘cable stay’ di Rentang Navigasi Utama kini sudah 67 peratus siap dan penyambungan jambatan akan diadakan awal April. Menjelang penghujung April, kenderaan pembinaan dapat menggunakan jambatan ini untuk ke Batu Kawan dari Batu Maung dan sebaliknya,” kata Ismail.

Sementara itu, pemasangan parapet ‘New Jersey barrier’, kerja-kerja penurapan dan pemasangan lampu jalan serta hiasan di Rentang Navigasi Utama akan dapat diselesaikan menjelang 30 Julai depan. - BERNAMA