Muar: Kementerian Belia dan Sukan meminta semua pihak supaya tidak mempertikaikan pemberian ganjaran RM500,000 kepada Lee Chong Wei selepas jaguh perseorangan badminton itu berjaya memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik London 2012.

Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ibrahim berkata, ganjaran berkenaan wajar kerana Chong Wei sudah mengharumkan nama negara malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan pemain nombor dua dunia itu.
"Sumbangan itu adalah sejajar pengorbanan Chong Wei yang berhempas pulas berusaha mencatat rekod sebagai atlit pertama negara memenangi pingat emas pada temasya terunggul itu.


"Chong Wei jelas menunjukkan kesungguhan menewaskan musuh ketatnya, Lin Dan dari China pada perlawanan akhir yang boleh dianggap sebagai pertemuan klasik, cuma dia tidak bernasib baik walaupun mendahului Lin Dan pada satu ketika dalam set penentuan," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Muar, semalam.

Razali juga menegaskan, semua pihak harus memberi peluang kepada Chong Wei untuk beraksi lagi pada masa akan datang selagi tahap dan mutu permainannya masih kekal pada tahap sekarang.

Jelasnya, jika masih berpotensi, Chong Wei layak menyertai temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil empat tahun lagi.