SEKTOR hartanah negara bakal menyaksikan peningkatan harga hartanah kediaman tertinggi dalam tempoh sedekad apabila harganya dijangka mencecah kemuncak antara 2012 dan 2013 sebelum kemungkinan harganya kembali sederhana.

OSK Research Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, peningkatan besar harga rumah itu yang bakal diterajui oleh rumah kos sederhana hingga mewah bertanah yang sedang memasuki peringkat awal pusingan kenaikan super.
Kata firma penyelidikan ekuiti itu, walaupun jangkaan peningkatan harga hartanah akan disusuli penurunan harga, namun kenaikan menakjubkan itu sudah memadai untuk menyedia peluang baik kepada pelabur meraih keuntungan daripada pergerakan harganya untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Susulan itu, kami meningkatkan penilaian kami terhadap sektor hartanah daripada biasa kepada prestasi memberangsangkan, katanya.

OSK berkata, jangkaan kemuncak harga pada 2012 dan 2013 itu dibuat berdasarkan sebahagian besar rakyat yang lahir pada sekitar 1970an sudah memasuki tahap ekonomi stabil dan mula beralih ke arah menaik taraf pembelian rumah kediaman mereka mulai 2009 atau 2010.

Katanya, susulan sistem kewangan negara kekal kukuh, institusi perbankan tempatan juga menawarkan pelbagai kemudahan skim pembiayaan perumahan.

Katanya, mencetuskan peningkatan permintaan mendadak terhadap hartanah kediaman sederhana dan mewah, mengikuti aliran seperti berlaku pada awal 1990an.
Aliran seperti ini mungkin sudah bermula sejak lewat 2009 kerana pelancaran hartanah oleh pemaju semakin banyak menumpukan terhadap segmen kediaman seperti ini bagi memenuhi permintaan yang menggalak-kan, katanya.