JOHOR BAHRU: Semua sekolah di daerah Muar dan Ledang diarahkan ditutup selama dua hari mulai hari ini akibat jerebu yang mencapai tahap berbahaya.

Arahan dikeluarkan Pejabat Pelajaran Daerah mulai jam 11 pagi ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai 383.
Mengikut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 11 pagi ini, Kota Tinggi turut mencatatkan tahap sangat tidak sihat dengan IPU 232 iaitu meningkat berbanding 211 yang dicatatkan pada jam 7 pagi.

Pasir Gudang dan Larkin Lama iaitu kawasan bandaraya Johor Bahru pula mencatatkan tahap tidak sihat dengan catatan IPU 199 dan 181.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Johor, Mohd Nor A Ghani, berkata seramai 76, 940 murid serta pelajar membabitkan 211 sekolah rendah dan menengah di Muar diarahkan bercuti bermula hari ini akibat masalah jerebu yang kini berada pada tahap bahaya.