KUALA LUMPUR: Keadaan berjerebu yang dialami Malaysia pada masa ini terutamanya di Lembah Klang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor adalah disebabkan oleh pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, imej satelit NOAA-18 pada 11 Mei juga menunjukkan angin bertiup dari arah barat daya iaitu dari kawasan-kawasan titik panas di wilayah Riau, wilayah Sumatera
Selatan dan wilayah Jambi ke pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia. Katanya, laporan satelit yang dikeluarkan oleh "Asean Specialised Meteorological Centre" menunjukkan pengurangan titik panas di Sumatera, Indonesia pada hari ini iaitu 45 titik panas berbanding 119 titik panas semalam.


Tiada titik panas yang dikesan dalam negara hari ini berbanding 3 titik panas semalam.

Sehubungan itu, kenyataan itu juga berkata, JAS menggerakkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut yang Mudah Terbakar mulai 10 Mei.

"Orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727," kata kenyataan itu.
Sementara itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara pada 5 petang tadi, mencatatkan keadaan bertambah baik, di mana tidak ada kawasan berada pada tahap tidak sihat berbanding satu kawasan pada 11 pagi tadi.

Sebanyak 31 kawasan berada pada tahap sederhana dengan IPU antara 51 hingga 100 manakala 21 kawasan berada pada tahap baik (IPU 0-50), menurut laman web jabatan itu.

Antara kawasan yang mencatatkan IPU tertinggi pada tahap sederhana, pada 5 petang tadi adalah Pelabuhan Kelang (99), Bukit Rambai (96), Bandaraya Melaka (88) dan Port Dickson (85). - BERNAMA