Ketua Eksekutifnya, Shahrull Allam Shah Abdul Halim berkata, pelan pemodenan itu akan menyaksikan Johor Port muncul syarikat dengan pendapatan RM1 bilion pada akhir tempoh pelaksanaannya.
Kenal pasti tiga perkara asas
Pelan pembangunan semula dan pemodenan Johor Port itu, katanya sudah mengenal pasti tiga perkara asas yang perlu dilaksanakan dengan jayanya bagi mengembangkan perniagaan pelabuhan terbabit.
Ia adalah meningkatkan perniagaan sedia ada, peningkatan kapasiti pelabuhan dan kepelbagaian perniagaan.
Beliau memberi contoh bagaimana di bawah pelan itu, Johor Port akan meningkatkan produktiviti pelabuhan seperti menambah baik kren sedia ada serta membeli kren baru.
“Semua tujuh kren di Terminal Breakbulk akan ditambah baik, selain membeli kren baru tahun ini dan tahun depan. Kami juga akan menambah baik kemudahan lain di pelabuhan seperti tali pengangkut atau pembawa di dalam usaha untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti,” katanya.
Ubah suai gudang
Dalam usaha Johor Port menambah kapasiti gudangnya, beliau berkata, pengurusan pelabuhan juga akan mengubah suai gudang sedia ada serta membina kemudahan gudang bertingkat.
Katanya, Johor Port juga melihat kemungkinan membina kemudahan gudang di luar kawasan utama pelabuhan bagi tujuan penyimpanan barangan yang ditakrif sebagai ‘barangan kurang laris.’
Dengan itu, katanya kemudahan gudang di dalam kawasan utama pelabuhan dapat digunakan untuk kemudahan aktiviti pemindahan kapal.
“Kita berharap program yang kita kenal pasti dan sedang laksana itu dapat tingkatkan produktiviti dan pemunggahan kapal akan mengambil masa yang lebih singkat, seterusnya meningkatkan kapasiti,” katanya.
