NILAI jualan sektor pembuatan negara terus mencatat pertumbuhan kepada RM45.7 bilion pada Julai, meningkat 9.3 peratus berbanding RM41.8 bilion yang dicatat pada bulan sama tahun sebelumnya.

Pada asas bulanan, nilai jualan juga meningkat sebanyak 1.5 peratus atau RM691.3 juta berbanding Jun lalu.
Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan semalam, berkata berbanding tahun lalu, peningkatan itu dijana pertumbuhan nilai jualan 70 industri yang mewakili 60.3 peratus daripada 116 industri yang dikaji.

“Lima industri utama yang meraih peningkatan jualan adalah pembuatan kereta bermotor (118.3 peratus), diikuti televisyen dan radio, rakaman Bunyi atau video atau rakaman semula serta barangan berkaitan (37.1 peratus) dan pembuatan produk petroleum bertapis (8.5 peratus).

“Turut meningkat adalah pembuatan injap dan tiub elektronik dan papan litar bercetak dengan 19.0 peratus serta pembuatan plastik dalam bentuk utama daripada getah tiruan (39.6 peratus),” kata kenyataan itu.

Sementara itu berbanding bulan sebelumnya, peningkatan nilai jualan dijana oleh pertumbuhan jualan 74 industri yang mewakili 63.8 peratus daripada 116 industri yang diliputi dalam kajian.

Empat industri utama yang mengalami peningkatan nilai jualan adalah pembuatan kereta bermotor (13.2 peratus); pembuatan produk petroleum bertapis (2.5 peratus); pembuatan televisyen dan radio, rakaman bunyi atau video atau peralatan rakaman semula dan Barangan Berkaitan (4.1 peratus) dan pembuatan peranti semikonduktor (1.8 peratus).
Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, nilai jualan sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan dua angka iaitu 19 peratus atau RM49.1 bilion kepada RM307.4 bilion.

Bilangan pekerja bergaji juga meningkat 5.8 peratus atau 53,862 kepada 988,118 orang. Secara keseluruhannya, produktiviti atau purata nilai jualan bagi setiap pekerja pada tempoh rujukan, meningkat 12.5 peratus kepada RM311,134.

Jabatan itu berkata, jumlah pekerja bergaji dalam sektor pembuatan pada Julai 2010 adalah 988,118, meningkat 0.5 peratus atau 5,358 orang atau berbanding bulan sebelumnya.

Berbanding tahun lalu, bilangan pekerja juga meningkat 53,862 orang atau 5.8 peratus daripada 934,256 orang pada Julai 2009.

Produktiviti atau purata nilai jualan bagi setiap pekerja pada Julai 2010 naik satu peratus bulan ke bulan kepada RM46,202. Produktiviti pada Julai 2010 juga meningkat 3.4 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu. – BERNAMA