Peningkatan itu didorong prestasi pelaburannya yang kukuh dalam pasaran ekuiti di sebalik ketidaktentuan dalam keadaan ekonomi global.
Pendekatan aktif
Mengulas prestasi suku kedua itu, Ketua Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, pendekatan aktif dan berdisiplin dalam tempoh dikaji membolehkan pengurus dana pencen itu meraih manfaat daripada saham yang memberikan hasil yang tinggi.
Katanya, pasaran ekuiti kekal menjadi penyumbang terbesar dalam tempoh berkenaan dengan memberikan pulangan RM3.84 bilion, meningkat 17.4 peratus daripada RM3.27 bilion yang dicatatkan suku sama tahun lalu.
Pelaburan dalam pinjaman dan bon pula meraih pendapatan RM2.06 bilion, meningkat RM272.32 juta daripada RM1.79 bilion dicatatkan tempoh sama sebelumnya.
Azlan berkata, pada suku berkenaan, KWSP turut memperuntukkan RM1.5 bilion kepada pengurus dana luaran bagi mandat ekuiti domestik dan RM600 juta untuk mandat pendapatan tetap domestik.
Penyumberan luar bagi mandat baru ini sejajar dengan strategi mempelbagaikan pelaburan yang diamalkan KWSP dan sebahagian daripada sumbangan KWSP untuk memacu pembangunan industri pengurusan dana tempatan, katanya.
Antara transaksi pelaburan terbesar KWSP sepanjang suku kedua itu termasuk penubuhan usaha sama dengan Goodman Group, yang mana kerjasama itu membabitkan kombinasi pelaburan sebanyak AUD$500 juta dalam hartanah di Australia, melalui pegangan permulaan 60/40 dengan KWSP sebagai pemegang saham majoriti.
Spektrum tambahan
Langkah meningkatkan pendedahan global KWSP bersandarkan kepada keperluan KWSP mempelbagaikan portfolio pelaburannya secara keseluruhan seiring pelan pelaburan jangka panjang KWSP untuk mendapatkan pulangan yang munasabah bagi ahlinya.
Bagaimanapun, KWSP sentiasa berhati-hati dalam pelaburan terutama dengan kelembapan yang terus melanda Zon Eropah yang menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi dunia, katanya.
Sehingga 30 Jun lalu, aset pelaburan KWSP meningkat RM32.53 bilion kepada RM494.75 bilion, berbanding RM462.22 bilion yang dicatatkan pada tempoh tahun lalu.
Jumlah caruman yang diterimanya dalam tempoh suku kedua tahun ini berjumlah RM12.42 bilion, melebihi jumlah pengeluarannya RM8.96 bilion, menjadikan aliran dana masuk bersihnya sebanyak RM3.46 bilion.
Sementara itu, KWSP telah dinobatkan sebagai Pelabur Institusi Islam Terbaik 2012 oleh Islamic Finance News (IFN) Islamic Investor Poll yang mengiktiraf sumbangannya terhadap pertumbuhan industri kewangan Islam.

Senarai Komen