Kad diskaun KDS1M diagih Ismail Sabri (tengah) bersama pelajar Maktab Koperasi Malaysia (MKM) yang menerima KDS1M pada sambutan Aidilfitri MKM di Petaling Jaya, semalam. - Foto BERNAMA
1.5 pelajar IPT nikmati potongan hingga 60 peratus

Petaling Jaya: Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) yang membolehkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menikmati potongan harga sehingga 60 peratus bagi pembelian barangan di premis perniagaan terpilih, mula diagihkan semalam.
Dengan memiliki KDS1M, kira-kira 1.5 juta pelajar IPT awam dan swasta boleh menikmati potongan harga berkenaan ketika membeli pelbagai barangan keperluan di lebih 1,200 premis perniagaan, bermula Sabtu ini.
“Ini adalah bukti keprihatinan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendengar serta menerima cadangan dikemukakan mahasiswa,” Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kad diskaun itu diagihkan secara berperingkat kepada 1.5 juta pelajar untuk fasa pertama.

Katanya, ia diberikan secara percuma kepada pelajar tahun satu, dua dan tiga IPT awam serta swasta yang melanjutkan pengajian secara sepenuh masa bagi peringkat sijil, diploma dan ijazah.

Kerjasama syarikat

“Pada awalnya 51 syarikat menyertai program ini, namun kini kita sudah mempunyai 179 syarikat yang menawarkan potongan harga antara 10 sehingga 60 peratus kepada mahasiswa dengan setiap pembelian menggunakan KDS1M.
“Sebenarnya, pemberian kad ini adalah cadangan yang dikemukakan sendiri oleh mahasiswa melalui mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada November tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tangani kos sara hidup

KDS1M dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menyaksikan Penerbangan Malaysia (MAS) dan anak syarikatnya, Firefly serta MASwings turut menyertai program itu dengan memberikan potongan harga tiket penerbangan sehingga 50 peratus.

Pemberian kad berkenaan adalah langkah proaktif kerajaan dalam usaha menangani masalah peningkatan kos sara hidup dalam kalangan mahasiswa.

Ismail Sabri sebelum itu menghadiri majlis Ramah Mesra dan sambutan Aidilfitri di Maktab Koperasi Malaysia (MKM) berkata, kad berkenaan boleh digunakan di kesemua syarikat perniagaan mengambil bahagian di seluruh negara.

Katanya, melalui penggunaan kad itu, pelajar dapat menikmati potongan harga bagi setiap pembelian barangan seperti makanan, alat tulis, buku, perubatan dan tiket penerbangan.

“Ini adalah bukti keprihatinan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendengar serta menerima cadangan dikemukakan mahasiswa,” katanya.

INFO: Kad Diskaun Siswa 1Malaysia
  • MAS, Firefly, MASwings tawar diskaun 50 peratus
  • 179 syarikat mengambil bahagian berbanding 51 syarikat peringkat awal
  • Lebih 1,200 pusat jualan seluruh negara