Kasih sayang antara anak berbeza sukarkan usaha mendidik BH Online

Kasih sayang antara anak berbeza sukarkan usaha mendidik

Oleh Prof Madya Nurhidayah Muhd Hashim
2011/05/03

SEBUAH drama keluarga yang ditayangkan baru-baru ini membawa tema kasih sayang ibu bapa kepada anak. Kisah menggambarkan bagaimana seorang ayah sangat menyayangi anak pertama telah menunjukkan kasih sayang yang tinggi kepada anak itu.

Layanan berbeza diberikan kepada anak kedua sehingga ayah menolak kebaikan si adik. Hasil penzahiran kasih sayang menyebabkan tekanan dalaman yang kronik kepada si adik.

Dalam kisah itu, si ayah memberi satu set ‘walkie talkie’ untuk si abang dan mereka berdua bermain. Adik yang melihat bertanya apakah ayahnya ada membelikan hadiah sama untuknya.

Dengan bersahaja ayah menjawab dia tidak membelikan kerana adik tidak tahu menghargainya. Selepas beberapa ketika, adik mengambil ‘walkie talkie’ itu dan bermain sendirian seolah-olah sedang bercakap dengan ayahnya.

Apabila abang menceritakan adiknya mencuri hadiah itu, ayah memukul dan memarahinya: “Jangan tinggal di rumah ini lagi kalau nak jadi pencuri. Ayah benci anak yang jahat.”

Kata-kata tajam yang menghiris hati seorang anak yang masih belum faham erti kehidupan. Kisah seumpama ini selalu juga berlaku dalam masyarakat kita di mana kasih sayang kerap dibeza-bezakan antara adik-beradik sama ada secara sedar atau tidak.

Mereka dapat merasakan wujud perbezaan kasih sayang ibu bapa terhadap dirinya dan adik-beradik lain. Apa yang bermain dalam fikiran seorang anak apabila dia dilayan seperti seorang yang tidak dikehendaki, tidak disayangi dan tidak dipedulikan?

Dalam urusan memberi kasih sayang kepada anak, ada beberapa panduan wajar diambil berat ibu bapa berdasarkan nasihat ilmuwan Islam dan pakar psikologi kanak-kanak.

Pertama, ibu bapa jangan menzahirkan dengan ketara rasa kasih kepada seseorang anak dan meninggalkan anak yang lain. Walau pun ada salah seorang anak lebih disayangi, tetapi perasaan kasih itu jangan keterlaluan dizahirkan.

Mengambil iktibar dari teguran Allah kepada suami berpoligami di mana Allah memberi nasihat supaya mereka jangan menunjukkan kasih sayang kepada seorang isteri melebihi isteri yang lain. Ia akan menyebabkan isteri ditinggalkan merasa tidak ketahuan, terbuang dan tidak disayangi.

Kedua, beri ganjaran dan teguran dengan adil antara semua anak-anak. Jika anak melakukan yang baik, bagi perangsang dan pujian atau hadiah. Jika membuat kesilapan, perlu ditegur dengan baik.

Apabila anak yang disayangi membuat silap tetapi dimarahi adalah anak lain, ia menunjukkan ibu bapa tidak bijak menangani urusan keadilan. Jika dibelikan hadiah kepada seorang anak, belikan untuk kesemuanya.

Walaupun murah, setiap anak sangat mengharapkan ingatan daripada ibu bapanya. Namun begitu, pengecualian mungkin diberi semasa hari lahir anak tertentu atau kejayaan dalam peperiksaan.

Ketiga, ibu bapa tidak wajar sama sekali menggunakan ayat menghiris hati kecil anak. Ia boleh menimbulkan kebencian anak terhadap ibu bapanya dan kepada dirinya sendiri. Perbezaan layanan daripada bapa atau ibu akan menimbulkan pelbagai soalan dalam diri anak.

Keempat, penggunaan kuasa diktator terhadap anak tidak membantu menjadikan anak seorang yang bijak, mampu berdikari dan pandai menyelesaikan masalah secara sendiri.

Anak mungkin patuh di depan tetapi bertindak sebaliknya di belakang ibu bapa.
Penggunaan ayat sindiran kepada anak yang tidak disayangi juga perlu dielakkan. Anak tidak dapat menangkap maksud di sebalik sindiran itu. Jelaskan kepada mereka apa yang perlu dilakukan dengan baik dan betulkan kesilapan tanpa membezakan antara adik-beradik.

Ibu dan ayah juga perlu selalu menyebut perkataan baik berbentuk positif dan mengingatkan anak peranannya dalam usaha membentuk kekuatan jiwa anak.

Rasulullah SAW menyebut anak seumpama kain putih yang diberi warna oleh ibu dan bapa. Ibu dan bapa yang mencorakkan, memberi nilai baik, mendidik mereka menjadi anak soleh dan solehah. Menghadapi anak dengan kasih sayang berbeza-beza akan menyukarkan usaha mendidik mereka.