Keistimewaan Islam tak perlu dipertikai MALAYSIA tidak memerlukan mana-mana jawatankuasa untuk membincangkan mengenai perkahwinan campur dan sebagainya kerana perkara ini tidak pernah menggugat keharmonian negara.
Penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama hanya undang kecelaruan, salah faham

MASYARAKAT Islam arus perdana begitu gusar dengan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berhubung dengan kelulusan jemaah menteri yang menubuhkan Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama. Jawatankuasa itu kononnya bertujuan mempromosikan persefahaman bersama dan harmoni di kalangan pelbagai agama.

Jawatankuasa yang ditubuhkan Februari lalu itu membabitkan wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam (Ikim) dan Majlis Perundingan Mengenai Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois Malaysia (MCCBCHST). Bagaimanapun, dilaporkan tidak ada anggota politik dilantik dalam jawatankuasa ini.
Menurut Dr Koh, ahli jawatankuasa itu akan berkongsi pandangan dan membincangkan isu serta mengelakkan sebarang salah faham dan tafsiran. Beliau juga dilaporkan berkata, isu yang akan ditumpukan perhatian oleh jawatankuasa itu ialah perkara berkaitan perkahwinan campur, pertukaran agama dan penjagaan anak.
"Hakikat bahawa Islam diletakkan sebagai Agama Persekutuan sendiri menjelaskan bahawa agama Islam mempunyai kedudukan istimewa. Namun kedudukan istimewa ini tidak bermakna agama lain ditindas kerana ‘Agama Negara’ itu sendiri menjamin agama lain boleh diamalkan dengan bebas"

Sehingga kini, senarai ahli jawatankuasa itu masih belum didedahkan kepada umum malah matlamat dan objektif jawatankuasa secara terperinci juga tidak diketahui.
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dalam reaksi awal menzahirkan kemusykilan dan kebimbangan mengenai penubuhan jawatankuasa itu. Persatuan tidak menolak dialog antara orang Islam dan bukan Islam, namun dialog itu tidak harus menjadi medan mencerca Islam ataupun mempertikaikan mana-mana ajaran Islam yang sudah sebati dalam jiwa orang Islam. Dialog itu juga hendaklah sentiasa mengambil kira kedudukan agama Islam sebagai Agama Negara seperti yang dizahirkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Terlalu sedikit maklumat didedahkan kepada masyarakat mengenai peranan jawatankuasa ini sehingga menimbulkan syak wasangka kepada umat Islam. Syak wasangka ini pula mempunyai asas kerana beberapa percubaan sebelum ini juga telah dilakukan seolah-olah mencampuri urusan agama Islam.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Perkasa juga berkongsi kegusaran ini dengan PPMM. Malah banyak NGO Islam arus perdana juga khuatir ia adalah jalan belakang penubuhan Interfaith Commission (IFC) yang ditolak beberapa tahun lalu. Saya sendiri menerima banyak panggilan telefon, pesanan ringkas dan e-mel berhubung perkara ini.
Sebagai reaksi kepada bantahan ini, kerajaan menegaskan Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama ini tidak sama dengan IFC. Ia tidak menguatkuasakan undang-undang dan hanya mempromosi dialog serta persefahaman antara penganut pelbagai agama. Namun Majlis Mufti Kebangsaan pula mengesyorkan nama jawatankuasa ini diubah dan tidak membabitkan agama. Jawatankuasa ini hanya diberi mandat mempromosi persefahaman antara kaum saja dan tidak membabitkan ajaran agama.

Bagi saya, kedudukan agama Islam adalah jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan tanpa syak telah ‘mensyahadahkan’ negara. Oleh itu, secara legalistiknya Malaysia mempunyai agama iaitu Islam. Tidak ada agama lain yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan boleh dianuti dan diamalkan dengan aman dan harmoni. Hakikat bahawa Islam diletakkan sebagai Agama Persekutuan sendiri menjelaskan bahawa agama Islam mempunyai kedudukan istimewa. Namun kedudukan istimewa ini tidak bermakna agama lain ditindas atau ditekan kerana ‘Agama Negara’ itu sendiri menjamin agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan tidak ada paksaan kepada orang bukan Islam memeluk Islam.

Jaminan Islam kepada orang bukan Islam menganut dan mengamalkan agamanya bukan suatu yang dipertikaikan. Ia disepakati dan mempunyai nas yang kukuh. Oleh itu, orang bukan Islam tidak perlu gusar walaupun Islam diletakkan sebagai ‘Agama Negara’, ia tidak akan menghakis hak dan kebebasan penganut agama lain di Malaysia.

Penentangan terhadap Suruhanjaya Antara Agama (IFC) disebabkan IFC dilihat mencampuri urusan agama Islam. Umat Islam tidak mahu urusan agama Islam ditadbir atau dikawal orang yang tidak mempunyai ilmu agama apatah lagi orang bukan Islam. Biarlah pakar agama yang menyelesaikan masalah agama serta mentafsirkan ajaran agama mengikut kaedah dan prinsip agama itu sendiri. Ajaran teras Islam tidak boleh dikompromi atas apa jua nama termasuk keharmonian atau perpaduan.

Bagaimanapun, umat Islam tidak menolak sebarang dialog bagi memupuk persefahaman dan keharmonian antara agama yang ada di negara ini. Namun yang menjadi masalah ialah usaha dialog seumpama itu disalah guna bagi mencampuri urusan agama lain seperti IFC dan ini perlu dipastikan kerajaan tidak berlaku pada jawatankuasa berkenaan.

Apapun juga nama jawatankuasa itu bagi mencapai hasrat mempromosi kefahaman antara penganut pelbagai agama di Malaysia, jawatankuasa yang ditubuhkan itu harus dipastikan bergerak dalam landasan menghormati kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan.

Dialog antara agama bukan sesuatu yang baru kepada umat Islam di Malaysia sebaliknya ia lama wujud di negara yang berbilang kaum ini. Terdapat banyak NGO Islam mempromosi dialog sebegini dan ia juga meningkatkan aras pemahaman masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam. Peranan menyebarkan dakwah Islam di Malaysia ini bukan hanya ditanggung oleh pihak tertentu malah perlulah digalas setiap umat Islam di Malaysia.

Umat Islam seharusnya menjadi contoh teladan kepada orang bukan Islam kerana umat Islam adalah umat yang cemerlang.