Kejutan Wee Wern Aksi Nicol (kiri) ketika menentang Annie Au pada saingan suku akhir petang semalam. Nicol menang 6-11,11-5,15-13, 11-5.
’Kemenangan ini bonus berganda buat saya’

Kuala Lumpur: Pemain wanita negara, Low Wee Wern melakar kejutan besar di Kejohanan Skuasy Terbuka CIMB Malaysia 2012 di Bukit Jalil apabila menyingkirkan pemain keempat dunia, Jenny Duncalf, untuk mara ke separuh akhir, mengiringi Nicol David, hari ini.

Pemain dari Pulau Pinang berusia 22 tahun itu, menang 11-7, 11-5, 11-8 dalam masa 32 minit menundukkan Duncalf, pemain pilihan ketiga dari England - kemenangan kedua selepas Terbuka Hong Kong baru-baru ini.
Wee Wern, bekas juara remaja kebangsaan akan berdepan dengan pemain nombor dua dunia, Raneem El Weleily dari Mesir yang menundukkan seorang lagi wakil England, Alison Waters 6-11, 11-9, 11-7, 11-2.

“Kemenangan ini menjadi satu bonus berganda buat saya. Satu perlawanan cukup sengit kerana Duncalf sentiasa mengekori rapat kutipan mata dan sering mengajak saya bermain untuk rali panjang.”

Mudah buat Nicol

Nicol pula seperti dijangka turut mara selepas menang 6-11, 11-5, 15-13, 11-5 menentang Annie Au, dari Hong Kong.

“Penyokong sentiasa memberikan sokongan, jadi apa juga keputusan saya akan memberikan yang terbaik memenangi perlawanan ini.
“Bermain di gelanggang sendiri memberi kelebihan untuk mara ke final," katanya akan bertemu Laura Massaro dari England.

Pemain lelaki negara, Mohd Naffizwan Mohd Adnan (kanan), yang mencipta kejutan kelmarin bagaimanapun gagal meneruskan rentak cemerlang untuk ke separuh akhir apabila tunduk kepada pemain Mesir, Tarek Momen 8-11, 4-11, 13-11, 4-11.

Tarek mengiringi rakan senegara yang juga pilihan kedua, Mohammed El Shorbagy ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Finland, Olli Tuominen, 11-8, 11-9, 1-11, 5-11, 11-8.