MAJU atau mundurnya sesebuah masyarakat dan bangsa pada masa kini banyak ditentukan oleh sikap mereka terhadap tuntutan mencari ilmu, serta keupayaan mereka menguasainya dan memanfaatkannya dengan sempurna serta berketerampilan.

Dalam Islam semua ilmu bersumber daripada Allah SWT. Ia bermatlamat untuk melahirkan manusia beriman dan mentauhidkan Allah, sama ada secara langsung atau tidak. Jika disoroti sejarah keintelektualisme Islam, tokoh ilmunya terdiri daripada orang yang menguasai ilmu agama dan juga ilmu alam serta kemasyarakatan.
Dalam Islam, ilmu naqli menduduki taraf fardu Ain yang wajib dipelajari oleh semua umat Islam. Ia mengandungi ajaran mengenai akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Semuanya tidak dapat dicapai melainkan melalui wahyu Allah SWT yang disampaikan Rasulullah SAW.


Kebenaran yang terkandung di dalamnya pula bersifat mutlak, paling tinggi serta di luar keupayaan fikiran dan pancaindera manusia. Dalam erti kata lain, keautoritiannya tidak boleh dipertikaikan sama sekali.

Ilmu inilah yang mengisi keperluan rohani manusia dengan tepat dan secukupnya di samping memberikan panduan yang bernilai abadi dan sejagat untuk kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan ketatanegaraan. Ilmu ini membawa manusia mengenali tanda kekuasaan Allah dan sunnah Rasul untuk membolehkan manusia berfungsi sebagai hamba dan khalifah Allah SWT di dunia dengan sebaik-baiknya.

Bagaimanapun, untuk kesempurnaan hidup di dunia secara bermasyarakat, penguasaan ilmu naqli atau ilmu agama saja tidak mencukupi meskipun ia adalah ilmu yang paling tinggi dalam Islam. Manusia memerlukan pengetahuan terperinci mengenai alam fizikal, kemanusiaan dan kemasyarakatan, sesuai dengan tugasnya sebagai khalifah yang akan membangun dirinya, alam sekitarnya dan masyarakat sesuai dengan tuntutan akidah tauhid dan syariat Allah SWT.

Oleh demikian, ilmu pengetahuan yang dikategorikan sebagai ilmu aqli perlu dipelajari dan dikembangkan sebagai pelengkap kepada ilmu agama. Kedua-dua tidak wajar dipisahkan.
Di negara kita, usaha untuk melaksanakan konsep ilmu bersepadu amat jelas. Bagi mencapai dan menjayakan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini, Kementerian Pelajaran menggubal semua kurikulum sekolah menengah yang kini dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Pada peringkat universiti pula, setiap pelajar diwajibkan mengambil kursus tamadun Islam.

Usaha Malaysia untuk melahirkan masyarakat yang berkemahiran dalam bidang agama dan bukan agama lebih jelas lagi, apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menghuraikan konsep pembangunan dan status negara maju dalam Wawasan 2020, menekankan pembangunan yang menyeluruh meliputi ekonomi, politik, sosial, rohani, jiwa dan budaya. Malaysia akan dibangunkan menjadi sebuah negara maju bertaraf dunia, tetapi model dan acuannya adalah berbeza.
Malaysia akan dibangunkan mengikut acuan Malaysia. Acuan ini sesuai dengan perspektif agama, dan Islam khasnya menekankan pembangunan bersepadu meliputi rohani dan jasmani.

Segala usaha yang dilakukan ini, adalah semata-mata untuk melahirkan produk yang mempunyai pandangan semesta dan nilai yang bersepadu antara agama dan bukan agama. Secara tidak langsung usaha ini juga dapat menghapus dualisme dalam pemikiran yang banyak menimbulkan masalah serta menjejaskan usaha ke arah pembentukan sahsiah diri yang sepadu.

Sesungguhnya konsep kesepaduan ilmu berteraskan Islam ini saja yang dapat menyelesaikan masalah dualisme dalam sistem pendidikan, supaya tidak wujud lagi pemisahan antara aliran ilmu agama (al-Naql) dan ilmu sains (al-‘Aql). Dengan adanya konsep kesepaduan ilmu ini kita akan dapat mencapai matlamat untuk menyatupadukan umat seluruhnya.