Kuala Lumpur: Kerajaan Sweden memberi layanan baik kepada pasangan Malaysia yang ditahan di penjara negara itu kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous berkata, perkara itu dimaklumkan Duta Besar Malaysia ke Sweden, Datuk Badruddin Ab Rahman kepadanya menerusi perbualan telefon hampir sejam, malam kelmarin.
Katanya, pasangan itu turut diberi kelengkapan menunaikan solat seperti sejadah sejak mereka ditahan 18 Disember lalu.


“Saya juga dimaklumkan disebabkan kes ini di peringkat siasatan awal, reman diperlukan sehingga 30 Januari ini untuk membantu siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut.

“Reman pihak berkuasa di sana tiada batasan dan tiada tempoh maksimum seperti di negara kita (dua minggu), ” katanya kepada media,pejabatnya di sini, semalam.

Pasangan itu, Azizul Raheem Awalludin dan isteri, Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat.

Ada tiga situasi

Sheikh Nafiq berkata, kedutaan Malaysia di Sweden turut memaklumkan siasatan itu bergantung kepada tiga situasi iaitu pertama, pihak pendakwa raya akan mengemukakan pendakwaan jika terdapat bukti yang kukuh dan cukup.

“Kedua, jika tidak cukup bukti, reman akan dilanjutkan dan ketiga, jika tiada apa-apa, akan gugurkan kes dan pasangan itu akan dibebaskan,” katanya.

Beliau berkata, pasangan itu juga akan diadili mahkamah sivil dan seorang peguam dilantik kerajaan Sweden bagi mewakili mereka.

Katanya, kedutaan Malaysia menemui peguam berkenaan bagi mendapatkan perkembangan lanjut dan terkini serta sentiasa memantau situasi pasangan itu.

Mengenai empat anak pasangan itu, katanya, seorang lagi peguam yang dilantik kerajaan Sweden berjaya dihubungi pihaknya dan sedang dalam proses mengaturkan pertemuan tidak lama lagi.

“Misi kami untuk membawa balik kanak-kanak itu atau dengan segera tukar penjagaan sementara kepada keluarga Islam,” katanya. - BERNAMA