Kiram boleh diekstradisi Anggota tentera tiba di FELDA Sahabat 16, Lahad Datu, sebelum ke Kampung Tanduo.
Petaling Jaya: Jamalul Kiram III yang mengetuai kumpulan pengganas dari selatan Filipina boleh diekstradisi dari republik itu untuk diadili mengikut undang-undang Malaysia.

Tindakan sama juga boleh dilakukan terhadap anggota pengganas yang ditahan di Sabah untuk diadili di Filipina.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata walaupun Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Filipina, tindakan itu boleh dilakukan dengan semangat ASEAN.


Bagaimanapun, Anifah menegaskan situasi di Sabah belum sampai ke tahap itu dan rundingan diplomatik masih berjalan di antara beliau dan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Albert F Del Rosario.

Ikut undang-undang

“Semua tindakan akan mengikut saluran berpandukan undang-undang kedua-dua negara,” katanya selepas sesi rakaman program bual bicara Soal Jawab TV3 di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.

Wisma Putra sebelum ini menggesa Kerajaan Filipina mengambil tindakan tegas terhadap Jamarul Kiram III berikutan tindakannya mengeluarkan banyak kenyataan berunsur menghasut sehingga menimbulkan kebencian dan keganasan.
Malaysia juga menyifatkan kumpulan itu sebagai pengganas berdasarkan kepada kekejaman dilakukan ke atas anggota keselamatan yang terkorban.

Anifah berkata, perkara itu dibangkitkannya pada pertemuan dengan Rosario yang turut memberi jaminan pihak terbabit akan dikenakan hukuman tegas di Filipina.

Ketika rancangan soal jawab yang dikendalikan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad (MPB), Datuk Ahmad A Talib, Anifah menegaskan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah.

Beliau juga tidak menolak andaian insiden di Sabah sebagai usaha pihak tertentu yang mungkin iri hati terhadap kejayaan dan kedudukan Malaysia yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ada pihak yang tidak mahu Malaysia dan kepimpinan Malaysia diiktiraf,” katanya yang turut mempersoalkan kenapa pencerobohan itu berlaku ketika kedua-dua negara dijangka mengadakan pilihan raya umum, selain dakwaan mengenai peranan pihak tertentu sebagai dalang.

Ditanya adakah insiden di Sabah itu ada kaitan dengan peranan Malaysia dalam usaha damai di selatan Filipina, Anifah berkata, mungkin ada pihak tidak berpuas hati dengan rundingan damai yang membabitkan Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Anifah juga yakin insiden itu tidak akan menjejaskan usaha damai di Mindanao dan Bangsamoro yang akan dibantu dari segi ekonomi oleh Malaysia.

Mengenai tempoh masa melebihi tiga minggu diambil pihak keselamatan sebelum mengambil tindakan, Anifah berkata, ia bagi mengelakkan pertumpahan darah dan bagi menghormati hubungan baik dua negara.