MOGADISHU: Kebuluran di Somalia bukan hanya semata-mata disebabkan musim kemarau panjang yang melanda negara itu, ia juga dipengaruhi faktor konflik bersenjata di negara yang dihuni lebih 144 puak.

Perang saudara meletus pada 1991 apabila Kongres Kesatuan Somali melantik Ali Mahdi Muhammad sebagai presiden baru tetapi tidak dipersetujui sayap tentera kesatuan itu yang diketuai Jeneral Muhamad Farah Aidid.
Sehingga kini, Somalia gagal membentuk sebuah kerajaan tetap dan konflik bersenjata antara puak terus berlaku.

Anggota misi bantuan Kelab Putera 1Malaysia yang disertai 55 anggota termasuk warga media dapat melihat sendiri kesan peperangan menerusi sisa runtuhan bangunan akibat dibedil mortar dan meriam serta bekas tembakan senjata api di dinding bangunan.

Seorang pensyarah Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Sheikh Abdisalam Hussein Mala, berkata kemarau bukan punca utama kebuluran.

Ini kerana majoriti penduduk Somalia adalah petani dan bersedia menghadapi kemarau, namun konflik bersenjata memusnahkan sistem pengairan bawah tanah.

"Mereka mempunyai sistem air bawah tanah, mereka melakukannya bertahun-tahun. Jika keadaan di negara ini baik dan tiada peperangan saudara, mereka berupaya untuk menguruskan diri mereka meskipun dilanda musim kemarau," katanya.
"Malangnya sekarang ini, penduduk terpaksa berpindah akibat peperangan saudara dan mereka tidak boleh bercucuk tanam, dan kemarau ini menambah lagi kepayahan mereka," kata Sheikh Abdisalam.

Akibatnya, penduduk luar bandar termasuk dari Lower Shabelle, Middle Shabelle, Oddur dan Merca yang kekurangan makanan terpaksa berjalan kaki beratus-ratus kilometer ke Mogadishu dan tinggal di kawasan penempatan sementara di sekitar ibu negara Somalia itu.

"Suami saya ada di sini, saya ada enam anak, tapi tiga daripada mereka sudah mati sebab kekurangan zat dan vitamin. Kami lari sebab kebuluran," kata Khadijah Yahaya melalui seorang penterjemah.

Nasib mereka yang tinggal di kem penempatan sementara tidak banyak berubah kerana penempatan tersebut serba kekurangan, baik daripada segi bekalan makanan mahupun ubat-ubatan.

Sementara itu, mangsa peperangan, Abdul Rassehd Muhmmad yang dimasukkan ke hospital Martini di Mogadishu kerana ditembak di kaki sehingga lumpuh, berharap konflik bersenjata di Somalia dapat ditamatkan agar penderitaan mereka boleh diakhiri.

"Duduklah berbincang dan berusaha menamatkan peperangan yang berlaku. Tolonglah bentuk sebuah kerajaan yang baik, sebuah kerajaan nasional," kata Abdul Rassehd penuh harapan.

Selain pertelingkahan antara puak, rakyat Somalia turut diancam kumpulan radikal bersenjata kiri, Al-Shabaab, yang dianggotai anak-anak muda. - BERNAMA